500 setinggan tunjuk perasaan depan Parlimen
Kira-kira 500 penduduk kampung setinggan di sekitar Kuala Lumpur dan Selangor mengadakan bantahan secara aman di hadapan bangunan Parlimen hari ini kerana tidak puashati dengan tindakan kerajaan Persekutuan dan kerajaan negeri merobohkan rumah mereka.
Kira-kira 500 penduduk kampung setinggan di sekitar Kuala Lumpur dan Selangor mengadakan bantahan secara aman di hadapan bangunan Parlimen hari ini kerana tidak puashati dengan tindakan kerajaan Persekutuan dan kerajaan negeri merobohkan rumah mereka.
Bantahan selama dua jam oleh penduduk dari 15 kampung itu, yang dianjurkan oleh Persatuan Gabungan Peneroka Bandar dan Perumahan di bawah Jaringan Rakyat Tertindas (Jerit), diadakan di pintu masuk ke Parlimen.
Sepanjang bantahan selama kira-kira 90 minit, mereka membawa bersama poster dan sepanduk sambil melaung menuntut hak perumahan mereka.
Gabungan itu menuntut agar pengusiran secara paksa, terutamanya di Selangor dan Kuala Lumpur, segera dihentikan dan segala keputusan dan penyelesaian harus melalui rundingan bersama.
Kerajaan juga diminta menyediakan perumahan kos rendah yang tetap, sesuai dan selesa untuk mereka yang diarah berpindah, katanya.
Gabungan itu mendakwa antara rumah yang telah dirobohkan secara paksa ialah di Kampung Rimba Jaya di Shah Alam, Kampung Maha Tambahan di Petaling Jaya, Kampung Berembang dan Kampung Batu Lapan di Ampang.
Dasar setinggan sifar
Jurucakap Jerit, A Sivarajan memberita media, sebahagian besar penduduk terbabit diusir dalam usaha kerajaan menjayakan dasar setinggan sifar di Selangor dan Wilayah Persekutuan.
Dalam beberapa kes, katanya, penduduk terpaksa tinggal dalam kemah kerana tidak mampu mencari rumah baru.
Menurut Sivarajan, sebahagian besar kes membabitkan tanah yang telah diambilalih oleh pihak swasta untuk dibangunkan dengan projek baru walaupun penduduk telah menduduki kawasan itu sejak zaman penjajahan British lagi.
Satu memorandum turut diserahkan oleh wakil gabungan itu E Parameiswary kepada ahli-ahli Parlimen yang mewakili kerajaan. Delegasi empat wakil rakyat itu diketuai oleh pemangku Pengerusi Kelab Penyokong Kerajaan Datuk Raja Ahmad Zainuddin Raja Omar.
Turut serta bersama beliau ialah Datuk Mohd Said Yusof (BN-Jasin), Tiong King Sing (BN-Bintulu) dan Mohd Aziz (BN-Sri Gading).
Perjumpaan wakil Jerit dengan ahli Parlimen itu hanya selama kira-kira dua minit sahaja. Selepas menerima memorandam tersebut, mereka meminta para penunjuk perasaan pulang.
Memorandum itu adalah untuk Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi.

