Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Ahmad cadangkan Umno, PAS bertembung di T'ganu, Kelantan dan Kedah
Diterbitkan:  Mar 27, 2021 5:48 PM
Dikemaskini: 9:48 AM

Walaupun wujud kerjasama rasmi di antara Umno dan PAS melalui Muafakat Nasional (MN), bekas menteri besar Terengganu Ahmad Said mempunyai cadangan tersendiri untuk kedua-dua parti.

Pengerusi Umno Terengganu itu malah menyarankan Umno dan PAS bertanding "secara mesra" dalam pilihan raya umum (PRU) di tiga negeri iaitu Terengganu, Kelantan dan Kedah.

Menurutnya, persaingan secara sihat perlu diwujudkan supaya rakyat diberikan peluang untuk memilih siapa yang layak memimpin negeri.

“Sebab tu Muafakat Nasional perlu bertanding secara friendly… beri ruang kepada rakyat (pilih) siapa yang nak pimpin negeri.

“Terengganu, Kelantan, Kedah yang mana majoritinya orang Melayu," katanya.

Untuk berunding mengelakkan pertembuang kata Ahmad, ia boleh dibuat di negeri lain di Pantai Barat bagi memastikan MN menguasai kawasan Melayu.

Menjadi tetamu sesi temu bual Umno Online sempena Perhimpunan Agung Umno di PWTC Kuala Lumpur hari ini Ahmad berkata walaupun kedua-dua parti bertanding sesama sendiri di tiga negeri terbabit, tidak timbul kebimbangan kuasa akan jatuh ke tangan Pakatan Harapan (PH).

Untuk rekod, pada PRU ke-14 Kelantan kekal dikuasai PAS seperti dilakukan parti itu sejak 1990, namun Terengganu dirampas dari Umno.

Campak daging korban

Kedah pula ditadbir PH sehinggalah berlaku perubahan kuasa di peringkat pusat dan beberapa Adun berpaling tadah menyebabkan penyandang menteri besar Mukhriz Mahathir dijatuhkan.

Adun Jeneri merangkap anggota Jawatankuasa Pusat PAS Muhammad Sanusi Md Nor menjadi menteri besar.

Di sebalik kewujudan MN, PAS tidak berkongsi kuasa pentadbiran negeri di Kelantan dan Terengganu. Malah di Terengganu Ahmad sendiri bersikap lantang mengkritik PAS dalam beberapa isu.

Pada Sept 2020 Presiden PAS Abdul Hadi Awang berkata partinya bakal mendominasi sejumlah besar kerusi di Kelantan, Terengganu dan Kedah pada PRU ke-15. 

Abdul Hadi Awang

Mengulas lanjut hubungan PAS dan Umno di Terengganu, Ahmad berkata orang luar dari negeri itu tidak boleh faham senario politik di situ yang diwarnai pelbagai krisis.

Kelihatan beremosi Adun Kijal itu menceritakan bagaimana persaingan Umno dan PAS di Terengganu menyebabkan perpecahan serius dalam kalangan penduduk setempat suatu ketika dulu.

“Orang lupa bagaimana PAS boleh lakukan kepada Umno sebegitu rupa. Negeri lain tak berlaku.

“Satu mukim ada dua masjid. Sembahyang di masjid yang sama, sembahyang tarawih - orang ni baru takbir, orang (lain) baru mula sembahyang,” katanya menceritakan persengketaan antara dua parti di negeri itu sehingga mewujudkan kejadian sembahyang dua imam.

“Sampai daging korban kita beri dicampakkan saja sebab yang sembelih (orang Umno).

“Sekarang apa jadi? (PAS) kembali Umno. Sebab tu saya jumpa orang PAS dia terasa malu,” katanya. 

Lihat Komen
ADS