Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Tapisan, mesyuarat tertutup PAU - susah nak agak sentimen sebenar Umno

Perhimpunan agung tahunan Umno untuk tahun 2020, berlangsung selama dua hari bermula hari ini, selepas sidang itu tertangguh selama berbulan-bulan berikutan penularan wabak Covid-19.

Seperti dijangkakan, intipati perhimpunan tersebut menumpukan serangan terhadap Bersatu memandangkan perkara itu turut ditekankan dalam perbahasan pemimpin parti seperti Timbalan Presiden Umno Mohamad Hasan dan Ketua Pemuda Asyraf Wajdi Dusuki.

Bagaimanapun, ketika mesyuarat sayap Pemuda, Wanita dan Puteri Umno petang tadi, masih sukar untuk pemerhati politik dan media meramalkan sekiranya kem-kem berbeza dalam Umno dapat mencapai kata sepakat berhubung kerjasama dengan Bersatu pada pilihan raya umum akan datang.

Sukar untuk melihat jika Umno akan bersama-sama dengan Bersatu sebagai satu gabungan pada PRU nanti.

Ini memandangkan sayap-sayap Umno mengadakan mesyuarat secara tertutup semasa perbahasan pemimpin akar umbi, sehingga menyukarkan media dan penganalisis politik untuk menilai sentimen parti itu secara menyeluruh.

Pagi ini, Umno hanya menyiarkan secara langsung ucapan ketua-ketua sayap dan Timbalan Presidennya Mohamad Hasan yang merasmikan ucapan perasmian tiga sayap parti.

Hanya perbahasan beberapa perwakilan terpilih disiarkan di ruang media di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), beberapa jam setelah para perwakilan menyampaikan perbahasan mereka.

Mesej para perwakilan rata-ratanya bersetuju dengan keputusan parti untuk memutuskan hubungan dengan Bersatu dan memperkukuhkan kerjasama dengan PAS bawah Muafakat Nasional.

Mereka juga mengkritik Bersatu kerana menerima 15 wakil rakyat Umno yang berpaling tadah selepas pilihan raya 2018.

Bekas setiausaha agung Umno, Annuar Musa, melalui media sosial mendakwa pemimpin Umno menekan suara-suara yang tidak sehaluan dengan mereka.

Annuar juga mendakwa serangan dilancarkan di internet untuk memburuk-burukkan mana-mana pemimpin parti yang berbeza pendapat, seperti Naib Presiden Ismail Sabri Yaakob, Menteri Luar Hishammuddin Hussein, Pengerusi Umno Perlis Shahidan Kassim dan Ketua Wanita Noraini Ahmad.

Ini termasuklah dakwaan menggantikan para pembahas yang tidak direstui Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi.

Sekiranya kenyataan Annuar itu benar, mesyuarat hari ini tidak menggambarkan keseluruhan sentimen akar umbi memandangkan parti menyaring senarai perbahasan oleh perwakilan.

Ucapan para pemimpin kanan Umno juga mengkritik suara-suara yang menentang kepimpinan.

Mohamad dalam ucapannya berkata usaha parti itu menghadapi musuh nyata jauh lebih mudah berbanding menentang 'musuh dalam selimut' yang menjadi ancaman Umno dari dalam parti.

Sementara itu, Pemuda Umno pula mengingatkan Zahid agar tidak menandatangani "watikah" calon PRU15 untuk pemimpin parti itu yang bersikap hipokrit.

Walaupun Mohamad dan Asyraf tidak menyebut nama rakan dalam parti Umno, namun dipercayai ia merujuk kepada menteri-menteri dan pemimpin Umno seperti Annuar, yang menyokong mengekalkan kerjasama dengan Bersatu dan Perikatan Nasional.

Dalam maklum balas segera selepas ucapan Mohamad menghentam Bersatu, pimpinan parti dari Perlis menyuarakan keraguan terhadap hala tuju Umno kini.

Ahli Majlis Tertinggi Umno Shahidan Kassim mengulas dakwaan Mohamad bahawa peranan Umno dalam kerjasama bersama Bersatu sebagai “sangat terpencil dan tidak dominan.”

Tegas Shahidan, kedudukan Umno dalam kerajaan PN sebenarnya tetap dominan dan lebih besar berbanding parti lain.

Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia Zahidi Zainul Abidin pula membayangkan Umno akan kekal berada dalam blok pembangkang sekiranya tidak berpakat dengan mana-mana parti untuk menghadapi PRU15.

Perhimpunan agung Umno bersambung esok yang mana keputusan mengenai hubungan dengan Bersatu dan kerajaan PN akan diputuskan. 

Lihat Komen
ADS