Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita

Walaupun Umno memutuskan untuk menentang Bersatu pada pilihan raya umum akan datang, rundingan mungkin berlaku antara kedua-dua parti itu di Sabah.

"Insya Allah, Umno (Sabah) akan berunding dalam Gabungan Rakyat Sabah (GRS) nanti," kata Pengerusi Umno Sabah, Bung Moktar Radin kepada Malaysiakini.

Dia berkata demikian ketika diminta menjelaskan apakah Umno Sabah akan merundingkan agihan kerusi dengan Bersatu pada pilihan raya umum (PRU) akan datang.

Umno ketika ini adalah sekutu utama Bersatu dalam GRS yang menjadi kerajaan negeri, dengan Bung dilantik sebagai timbalan ketua menteri.

Ketika ucapannya di perhimpunan agung Umno, Bung meminta para perwakilan memahami situasi Umno Sabah.

Katanya, Umno Sabah harus menghormati mandat rakyat agar GRS berkuasa.

Bagaimanapun, Bung menegaskan Umno Sabah masih menyokong majlis tertinggi Umno dan presiden parti itu, Ahmad Zahid Hamidi.

Terdahulu, Majlis Tertinggi Umno memutuskan untuk menamatkan hubungan dengan Bersatu.

"Umno sentiasa berpegang teguh dengan prinsip perjuangan parti harus diutamakan.

"Dan dan dalam perjuangan saya teringat kata-kata timbalan presiden (Mohamad Hasan), dalam berpolitik, kalau tak untung jangan rugi

"Maka pendekatan inilah kita akan guna pada PRU15 di Sabah.

"Selaku ketua saya bertanggungjwb untuk bantu seberapa banyak calon-calon kerusi parlimen di Sabah bagi memastikan kemenangan," kata Bung.

Ketika ditemui pemberita kemudian, Bung berkata keputusan parti di peringkat pusat hari ini dijangka tidak memberi kesan besar di Sabah.

Pada sidang media yang berasingan, Zahid memberitahu wartawan bahawa situasi di Sabah adalah unik.

"Landskap politik Sabah agak istimewa kerana mereka berada di sebuah gabungan besar GRS, maka apa yang dinyatakan Bung sebagai ketua Umno Sabah adalah satu yang menjadi pendirian Umno Sabah dan kita akan hormati," katanya.

Umno Sabah diberikan autonomi daripada kepimpinan pusat - termasuk dalam menentukan calon pilihan raya.

Lihat Komen
ADS