Barisan Bertindak Hak Asasi Hindu (Hindraf) kini boleh menyelesaikan kos penyelenggaraan pertubuhan itu seperti kos senggara pejabat dan bil utiliti.

Ini susulan keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini yang membenarkan permohonan Hindraf untuk menangguhkan sementara keputusan Ketua Pengarah Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (RoS) dan Menteri Dalam Negeri yang membatalkan pendaftaran pertubuhan itu.

Sebelum ini Hindraf memfailkan kebenaran untuk mencabar keabsahan dua keputusan berhubung pembatalan pendaftaran kumpulan berkenaan.

Pertama melibatkan keputusan ketua pengarah RoS pada 30 September 2019 untuk membatalkan pendaftaran kumpulan itu dan kedua adalah keputusan menteri Dalam Negeri pada 7 Ogos tahun lepas yang mengekalkan keputusan pertama.

Hakim Mariana Yahya hari ini membenarkan permohonan penangguhan oleh Hindraf, sementara menunggu semakan kehakiman terhadap pembatalan pendaftaran tersebut.

Peguam kumpulan Annou Xavier mengesahkan keputusan prosiding hari ini, yang dilakukan menerusi e-mel.

"Mahkamah Tinggi telah membenarkan permohonan Hindraf untuk menangguhkan keputusan Ketua Pengarah Jabatan Pendaftaran Pertubuhan dan Menteri Dalam Negeri, sementara menunggu keputusan semakan kehakiman.

"Kesan dari keputusan hari ini adalah pertubuhan itu (Hindraf) tidak dibatalkan, hingga ditentukan oleh undang-undang.

"Ia boleh berfungsi seperti pertubuhan berdaftar, boleh menyelesaikan kos penyelenggaraan pejabat, membayar bil elektrik dan air, dan membayar gaji staf," kata Annou kepada Malaysiakini.

Pada 22 Februari tahun ini, Mahkamah Tinggi membenarkan Hindraf untuk meneruskan permohonan semakan kehakiman berhubung keputusan RoS.

[Baca berita penuh]