Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Perantau balik kampung, kenderaan di Kelantan meningkat 10%

Jumlah kenderaan di Kelantan meningkat lebih 10 peratus susulan kepulangan perantau ke kampung halaman sejak bermulanya cuti penggal persekolahan sejak Jumaat lalu.

Ketua Polis Kelantan DCP Shafien Mamat bagaimanapun berkata, setiap kenderaan yang masuk ke Kelantan perlu melalui sekatan jalan raya di sempadan negeri selain mempunyai surat kebenaran rentas negeri yang dikeluarkan di kawasan masing-masing.

"Memang kita akui berlaku peningkatan kenderaan sejak bermulanya cuti sekolah yang dianggarkan lebih 10 peratus berbanding hari biasa.

"Namun, kita sentiasa membuat pemeriksaan di sekatan jalan raya bagi memastikan kesemua mereka mempunyai dokumen perjalanan sebelum dibenarkan masuk ke Kelantan.

"Kita mendapati mereka semua mempunyai surat kebenaran dan sekiranya gagal mengemukakan dokumen berkenaan, kita akan mengarahkan mereka berpatah pulang," katanya kepada media selepas majlis serah terima tugas ketua polis daerah Pasir Mas antara Asisten Komisioner Mohamad Roy Suhaimi Sarif dan Asisten Komisioner Mohd Nasaruddin M Nasir di Pasir Mas, hari ini.

Sementara itu tegas Shafien, perantau yang pulang ke kampung halaman untuk sebarang tujuan termasuk menghadiri kenduri supaya mematuhi prosedur operasi standard (SOP).

"Bila pergi kenduri dan sebagainya, patuhilah SOP, pakai pelitup muka dan amalkan penjarakan sosial. Jika bergambar, pastikanlah ada sedikit jarak bagi kita bantu kerajaan untuk mengurangkan jangkitan Covid-19.

"Hasil pemantauan kita kepatuhan SOP penduduk di Kelantan sudah melebihi 90 peratus, tapi apabila menghadiri majlis tertentu, kadang-kadang boleh jadi alpa dengan SOP," jelasnya.

Lihat Komen
ADS