Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Segera vaksinkan guru untuk elak risiko lebih besar
Diterbitkan:  Apr 6, 2021 12:01 PM
Dikemaskini: 4:01 AM

Sekumpulan ahli parlimen pembangkang hari ini menggesa kerajaan supaya menyegerakan suntikan vaksin kepada guru yang sepatutnya juga dianggap sebahagian daripada petugas barisan hadapan negara.

Dalam satu kenyataan bersama dikeluarkan itu mereka berkata vaksin perlu diberikan lebih awal kepada golongan guru kerana mereka merupakan kumpulan berisiko untuk dijangkiti Covid-19.

Kata mereka, dengan pembukaan semula sesi persekolahan sepenuhnya mulai semalam, bermakna hampir 500,000 guru kembali menjalankan rutin masing-masing.

"Hakikat yang tidak dapat disangkal, para guru juga menjadi golongan barisan hadapan menyantuni anak-anak kita untuk menjamin kelangsungan pendidikan dan masa depan negara.

"Apa yang kita maklum, hal ini mendedahkan para guru kepada risiko untuk dijangkiti virus Covid-19," kata mereka.

Kesejahteraan para guru, tambah ahli parlimen itu lagi, merupakan penentu kepada kelangsungan kemapanan pendidikan anak-anak bangsa.

"Menyedari realiti itu, kami mewakili pelbagai parti dari blok pembangkang menggesa agar Kementerian Kesihatan Malaysia bekerjasama dengan Kementerian Pendidikan untuk memberikan suntikan vaksin segera mungkin ke atas guru-guru kita," kata kenyataan itu.

Gesaan itu diketuai Pengerusi Pendidikan Pakatan Harapan (PH) yang juga bekas menteri pendidikan, Maszlee Malik, serta jurucakap pendidikan PKR Nik Nazmi Nik Ahmad, Teo No Ching (jurucakap pendidikan DAP), Hasan Baharom (jurucakap pendidikan Amanah), Syed Sadiq Syed Abdul Rahman (Presiden Penaja Muda), Amiruddin Hamzah (setiausaha agung Pejuang), Isnairassah Munirah (Ketua Wanita Warisan) dan Wilfred Madius Tangau (Presiden Upko).

Sesi persekolahan bagi murid sekolah rendah bermula pada 1 Mac selepas sekian lama tertangguh akibat penularan wabak Covid-19 manakala sesi persekolahan bagi murid sekolah menengah pula bermula pada 4 dan 5 April.

Ahli parlimen terbabit berkata penangguhan pemberian vaksin kepada guru akan mendedahkan banyak pihak kepada risiko jangkitan wabak berbahaya itu.

"Penangguhan pemberian vaksin kepada para guru hanya akan mendedahkan bahaya bukan hanya para guru malah juga kepada anak-anak murid.

"Justeru segerakan pemberian vaksin kepada para guru," katanya.

Lihat Komen
ADS