Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
MOF kekalkan akauntabiliti, ketelusan urus kewangan

Kementerian Kewangan (MOF) tetap mengekalkan aspek akauntabiliti serta ketelusan tadbir urus kewangan dan keutamaan tunggal sepanjang tempoh darurat ialah menggunakan segala dasar dan perundangan sedia ada demi melindungi nyawa serta mata pencarian rakyat.

Malah, dari segi akauntabiliti dan ketelusan, MOF menerbitkan Pekeliling Perbendaharaan Malaysia PB 1.4, Tatacara Anggaran Perbelanjaan Tambahan Bagi Tempoh Darurat.

Ia antara lain menggariskan panduan, hal-hal berkaitan tadbir urus perbelanjaan tambahan serta proses yang terlibat berkaitan pengurusan perbelanjaan tambahan sepanjang tempoh darurat tersebut.

“Tadbir urus yang digariskan itu akan memastikan peruntukan tambahan bagi tahun ini adalah perbelanjaan yang sememangnya amat diperlukan.

“Kedudukan kewangan kerajaan turut diambil kira oleh MOF sebelum sebarang permohonan itu dipertimbangkan,” kata Menteri Kewangan Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Aziz dalam satu kenyataan media pada Rabu.

Sehubungan itu, dia mengulangi kenyataannya pada 22 Mac lalu yang menegaskan hutang berkanun kerajaan yang merangkumi penerbitan MGS, MGII dan MITB adalah dihadkan kepada 60 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK).

“Pinjaman luar negara dan hutang bil perbendaharaan pula masing-masing dihadkan sebanyak RM35 bilion dan RM10 bilion,” katanya.

Tengku Zafrul berkata demikian sebagai mengulas tohmahan pihak tertentu yang mempertikaikan ketelusan dan keikhlasan kerajaan dalam mengutamakan aspek kesejahteraan rakyat, terutama penggunaan semua dasar bagi mencapai matlamat tersebut.

“Walaupun Ordinan ini berkuat kuasa, had hutang masih tertakluk kepada akta jenis-jenis hutang.

"Setakat akhir 2020, tahap hutang berkanun kerajaan adalah sebanyak RM820.7 bilion atau 58 peratus daripada KDNK dan dijangka mencecah 58.5 peratus pada hujung tahun ini,” katanya.

Tengku Zafrul menjelaskan, bagi pinjaman luar negara dan hutang bil perbendaharaan, tahap hutang kedua-dua instrumen itu masing-masing adalah RM28.3 bilion dan RM6.5 bilion.

“Saya juga ingin menjelaskan mengenai proses kelulusan perbelanjaan tambahan kerajaan persekutuan oleh Dewan Rakyat.

"Lazimnya MOF akan meluluskan permohonan peruntukan tambahan terlebih dahulu melalui Kumpulan Wang Luar Jangka, Simpanan Luar Jangka atau Surat Kuasa Berbelanja sebelum mendapatkan kelulusan Dewan Rakyat.

“Sebagai contoh, perbelanjaan tambahan oleh kerajaan Pakatan Harapan pada 2019 hanya dibentangkan oleh kerajaan Perikatan Nasional pada pertengahan 2020 untuk persetujuan dan kelulusan parlimen,” katanya.

Oleh itu, katanya salah satu tujuan pindaan ordinan berkenaan adalah untuk membolehkan perbelanjaan tambahan bagi 2020 diluluskan dengan segera, mengambil kira perbelanjaan tambahan 2020 dibelanjakan pada tahun lepas.

Menurut Tengku Zafrul pada masa sama, Akaun Awam Kerajaan Persekutuan 2020 juga sedang dalam proses audit untuk dimuktamadkan.

“Tambahan pula, ordinan ini hanya menyentuh perbelanjaan tambahan dan tidak sekali-kali menyentuh berkenaan penyediaan belanjawan tahunan.

“Ini bermakna, sama seperti Rancangan Malaysia Ke-12, kerajaan akan membentangkan Belanjawan 2022 di parlimen selaras dengan ketetapan Perlembagaan Persekutuan,” katanya.

Tengku Zafrul berkata, perlu ditekankan bahawa tujuan pengisytiharaan darurat oleh Perdana Menteri Muhyiddin Yassin pada 11 Jan lalu adalah untuk memastikan tindakan yang tangkas dan segera menangani penularan wabak Covid-19 bagi menjamin kesejahteraan rakyat, kelangsungan perniagaan serta pemulihan ekonomi.

“Langkah-langkah itu juga adalah bersifat sementara. Sebaik sahaja darurat diisytiharkan tamat, segala tindakan yang telah diambil oleh kerajaan sepanjang tempoh ini akan dibentangkan dan disoal jawab pada sesi Parlimen (Dewan Rakyat) dan Dewan Negara kelak," katanya.

- Bernama

Lihat Komen
ADS