Rundingan dua hala M'sia-S'pura terus ditangguh
Rundingan mengenai pelbagai isu dua hala yang tertunggak antara Malaysia dan Singapura akan terus ditangguhkan bagi membina kepercayaan dan keyakinan antara kedua-dua negara, kata Timbalan Menteri Luar Datuk Joseph Salang.
Rundingan mengenai pelbagai isu dua hala yang tertunggak antara Malaysia dan Singapura akan terus ditangguhkan bagi membina kepercayaan dan keyakinan antara kedua-dua negara, kata Timbalan Menteri Luar Datuk Joseph Salang.
"Kedua-dua negara berpendapat adalah lebih memanfaatkan masa yang ada sekarang untuk membina keyakinan bagi mengeratkan lagi hubungan dua hala melalui kerjasama di pelbagai bidang," katanya di Dewan Rakyat.
Katanya, kedua-dua kerajaan bersetuju rundingan isu-isu tertunggak ditangguhkan buat sementara waktu ini sehingga kerjasama kedua-dua negara dieratkan lagi.
Salang menjawab Datuk Mohamed Aziz (BN-Sri Gading) mengenai adanya rundingan baru yang dibuat antara Kerajaan Malaysia dan Singapura dalam menyelesaikan isu-isu tertunggak.
Menurut laporan Bernama, antara isu-isu tertunggak adalah penyemakan harga bekalan air mentah ke Singapura dan isu tanah KTM di Singapura.
Salang juga memaklumkan bahawa Jemaah Menteri pada 12 April lepas telah memutuskan untuk menghentikan rundingan dengan Singapura mengenai isu pembinaan jambatan bagi menggantikan Tambak Johor.
Dengan ini, katanya, permintaan Singapura untuk mendapatkan pasir dan penggunaan ruang udara Malaysia oleh Tentera Udara Singapura juga tidak timbul.
Menjawab soalan tambahan, Salang berkata kerajaan sentiasa memastikan hubungan dua hala yang baik dengan negara-negara jiran termasuk Singapura.
"Dengan adanya keyakinan kedua-dua negara, kita mengharapkan bahawa akan diselesaikan isu-isu yang tertunggak," katanya.
Menjawab soalan Datuk Mahadzir Khir (BN-Sungai Petani), katanya kerajaan masih menunggu keputusan timbangtara di Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) berhubung isu tertunggak Pulau Batu Putih yang juga membabitkan Singapura.
"Biarlah kita tunggu apa keputusannya (ICJ) nanti," jelas beliau.

