Malaysiakini
BERITA

Polis siasat gambar borang rentas negeri kosong bertandatangan

Diterbitkan
Dikemaskini 8 Apr 2021, 3:59 pagi

Polis Kemaman telah membuka kertas siasatan berhubung gambar borang rentas negeri kosong yang sudah bertandatangan, yang tular di media sosial sejak semalam.

Mengakui borang tersebut dikeluarkan di Balai Polis Chukai di daerah itu, Ketua Polis Daerah Kemaman Supt Hanyan Ramlan berkata terdapat pemalsuan tandatangan pegawai polis pada borang tersebut.

"Siasatan awal dijalankan mendapati terdapat pemalsuan tandatangan milik Ketua Polis Balai Polis Chukai, Inspektor Mohamad Ramizan Ramli pada borang itu," katanya dalam kenyataan di akaun Facebook.

Tambahnya, borang rentas negeri itu diberikan kepada seorang wanita untuk ke Kuala Lumpur bagi menghadiri temu duga kerja yang dijadual pada 8 April.

"Kertas siasatan dibuka di bawah Seksyen 468 Kanun Kesekseaan (pemalsuan bagi maksud hendak menipu) dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (penggunaan tidak wajar kemudahan rangkaian atau perkhidmatan rangkaian)," katanya lagi.

Terdahulu, gambar borang rentas negeri kosong bertandatangan dan cop dari Balai Polis Chukai, Kemaman, dimuat naik pengguna sosial bernama "NurulAin".

Gambar itu kemudian turut disebarkan di media sosial lain dan menarik perhatian warganet, yang rata-ratanya mempersoalkan borang tersebut.

Beri pendapat anda!

Jadi pelanggan Malaysiakini untuk menjadi pengulas berita. Anda dapat mengakses kandungan semua bahasa dan menulis komen di semua platform Malaysiakini.

Bersatu sokong media bebas.