Tony Pua: Adakan strategi tepat untuk majukan bioteknologi
Dalam bahagian kedua ini, perunding ekonomi, Tony Pua berbicara tentang kemunculan China sebagai gergasi ekonomi dan dasar-dasar Malaysia dalam menangani saingan dan merebut peluang dari kemakmuran ekonomi negara kuasa besar itu.
Dalam bahagian kedua ini, perunding ekonomi, Tony Pua berbicara tentang kemunculan China sebagai gergasi ekonomi dan dasar-dasar Malaysia dalam menangani saingan dan merebut peluang dari kemakmuran ekonomi negara kuasa besar itu.
Lulusan Universiti Oxford berusia 34 tahun yang menguruskan sebuah syarikat berasaskan teknologi maklumat di Cyberjaya itu turut bercakap tentang keperluan Malaysia menerokai bidang baru yang boleh menjadi pemangkin ekonomi negara selain dari sektor ICT (Informasi dan komunikasi maklumat).
Malaysiakini: Apa pendapat anda tentang dasar Malaysia
terhadap China?
Pua: Tidak dinafikan situasi di China telah diberi perhatian dalam bajet 2007 dan laporan ekonomi. Perkara berkaitan China telah disentuh beberapa kali. Kerajaan mengakui kesan ekonomi China terhadap rantau ini, samaada sebagai saingan atau peluang untuk sektor pembuatan dan pelaburan. Tetapi adakah kita mempunyai polisi yang tepat untuk berurusan dengan China?
Angka-angka yang dikeluarkan oleh sektor pelancongan sejak berlakunya insiden kononnya "warga China dibogelkan dalam lokap polis" tahun lalu tidak begitu memberangsangkan. Salah seorang rakan kongsi saya yang berasal dari China telah bertanya; "Apakah yang hendak dilakukan oleh kerajaan Malaysia kepada kami, orang China?"
Ini menunjukkan laporan tentang insiden itu dilaporkan dengan agak meluas di negara mereka. Statistik dengan jelas menunjukkan kesan buruk laporan insiden tersebut, daripada setengah juta atau kira-kira 550,000 orang pelancong China yang berkunjung ke Malaysia pada 2004, ia telah menurun kepada 352,000 pada 2005, jatuh 36 peratus.
Bagaimanapun tahun ini keadaan nampaknya bertambah baik, dalam tempoh lima bulan pertama, telah ada peningkatan berbanding tempoh yang sama tahun lalu. Tetapi jika dibandingkan dengan tempoh yang sama pada tahun 2004, ia masih menunjukkan kemerosotan sebanyak 33 peratus. .
Tidak dinafikan banyak pelancong dari negara lain semakin mengenali negara ini terutamanya dari Timur Tengah tetapi kita perlu beri perhatian besar kepada China sebab jaraknya begitu hampir dengan kita, cuma 3 jam penerbangan dari negara itu ke Kuala Lumpur. Selain itu China tersenarai sebagai salah satu daripada 10 negara paling besar berbelanja dari segi pelancongan. Mengapa tidak kita cuba menarik lebih ramai pelancong China ke sini?
Jumlah rakyat China yang melancong ke luar negara kira-kira 29 juta orang setahun dan ia tumbuh pada kadar 43 peratus tahun lalu. Pasaran mereka lebih besar dari Jepun yang mempunyai 17 juta pelancong.
Distinasi utama pelancong China ialah Singapura. Cuba kita fikir, apa yang ada di Singapura? Mengapa Singapura mendapat lebih ramai pelancong daripada kita?
Mereka ke Singapura untuk melihat arca Singa yang tidak mempunyai apa-apa nilai itu. Mengapa tidak mereka datang ke Malaysia dan menyaksikan dan menekmati aset semula jadi kita seperti pulau-pulau, pantai dan sebagainya?
Kalaupun pelancong China datang ke sini, mereka singgah sehari di Kuala Lumpur, selepas itu ke Pulau Pinang dan kemudian terbang ke Bangkok. Itu bukan melancong ke Malaysia namanya.
Kita masih di belakang Singapura, Thailand, Jepun dan Korea Selatan. Masih banyak yang boleh kita lakukan, lebih-lebih lagi dengan adanya Tahun Melawat Malaysia tahun depan.
Malaysiakini: Bagaimana dengan lapanganterbang kita?
Pua: Sudah ada perubahan sejak beberapa tahun ini. Pengumuman ketibaan dan penerbangan telah dibuat dalam bahasa Mandarin tetapi papan tanda dalam bahasa tersebut masih kurang. Sebahagian besar papan tanda masih dalam bahasa Inggeris, Melayu dan Jepun. Dengan semakin ramainya rakyat China datang ke sini, mengapa tidak kita perbanyakkan papan tanda dalam bahasa Mandarin.
Perkara-perkara yang kecil seperti ini sebenarnaya mendatangkan kesan besar. Rakan kongsi China saya tidak mahir berbahasa Inggeris dan amat sukar bagi beliau untuk berjalan sendirian tanpa bantuan. Persekitaran yang mesra pelancong China perlu diwujudkan untuk menarik mereka ke sini.
Malaysiakini: Apa pula peranan sektor IT di negara ini sekarang?
Pua: Pada tahun 1997 dan 1998, kita mempromosi koridor raya multi media (MSC) sebagai sektor keutamaan baru negara ini. Tetapi pada 2004 dan 2005, keghairahan terhadap sektor ICT ini mati, kita beralih ke bidang bioteknologi pula.
Kalau anda bercakap dengan JJ (Menteri Sains, Teknologi dan Innovasi, Datuk Seri Dr Jamaluddin Jarjis), beliau hanya berminat bercakap tentang biotek. Anda bercakap tentang ICT, dia akan mengalih topik kepada bioteknologi.
Saya telah membuat perbandingan dengan Singapura, mereka juga sedang memajukan sektor bioteknologinya. Kerajaan telah mengumumkan peruntukan geran RM210 juta untuk sektor bioteknologi. Bagi mereka yang tidak pernah melihat wang sebanyak itu, mereka akan menyangka peruntukan tersebut sangat besar tetapi sedarkah kita Singapura telahpun membelanjakan SD4 bilion untuk sektor bioteknologinya. Jumlah keseluruhan yang diperuntukan bagi membina infrastruktur sektor ini ialah SD10 bilion.
Saya akui kerajaan telah melakukan sesuatu yang betul apabila mahu memajukan sektor bioteknologi tetapi adakah kita melaksanakan dasar yang tepat dan sesuai?
Malaysiakini: Mampukah kita menyaingi angka-angka yang dilaburkan oleh Singapura?
Pua: Kita tidak mahu menyaingi mereka kerana Singapura mempunyai wang yang banyak untuk dilaburkan. Dari perspektif itu, dapatkah bioteknologi menjadi sektor kelebihan kita? Saya tidak pasti. Saya rasa tidak. Kalaupun kita masih nak tumpukan pada bioteknologi, kita kena fokus, tumpukan pada bidang yang kita tidak diceburi oleh Singapura.
Malaysiakini: Bagaimana dengan MSC? Mengapa ia gagal?
Pua: Saya rasa industri ICT perlu dimajukan. Macam manapun keadaannya, sektor IT perlu dibangunkan sebagai industri sokongan kepada ekonomi. Kita tidak perlu mempunyai sebuah syarikat seperti Microsoft, memadailah sebagai industri sokongan.
Bukan mudah untuk mewujudkan satu industri perisian. Singapura telah mencuba, mereka cuba membangunkan jenama perisian IT sendiri, tetapi gagal. Ia amat sukar walaupun Singapura telah melabur banyak wang. Faktor geografi, saiz pasaran dan sebagainya mendatangkan masalah kepada Singaoura.
Malaysiakini: Bagaimana kalau dibandingkan dengan Korea Selatan dan Japan.
Pua: Korea tidak mempunyai banyak produk IT. Di dalam dunia ini satu-satunya operasi pengeluaran perisian komputer yang menguntungkan ialah di Amerika Syarikat. Ini kerana negara itu mempunyai saiz pasaran yang besar serta mereka celik IT. Kalau di Malaysia, siapa mahu membeli perisian komputer anda?
Pada pendapat saya memang bagus ICT digalakkan dan mungkin wajar kalau diberi penekanan pada aspek innovasi. Ini bagi memberi peluang akepada mereka yang berminat untuk mencipta. Selain dari itu kita perlu jadikan sektor ICT kita industri sokongan untuk menggalakkan pertumbuhan ekonomi.
Semua sektor pembinaan, pembuatan dan perkhidmatan bergantung pada ICT sekarang ini. Kita tidak boleh selama-lamanya bergantung pada kepakaran asing.
Malaysiakini: Adakah rasa MSC telah gagal?
Pua: Saya tidak fikir ia gagal. Tetapi sebenagian daripada perbelanjaan dalam sektor ini adalah suatu yang merugikan dan membuang masa. Kita sebenarnya tidak memerlukan sebuah Cyberjaya....tapi ramai orang telah berpindah ke situ. Cyberjaya berkembang dengan perlahan sekarang ... ia tidak mungkin menjadi Silicon Valley.
Pada pendapat saya salah satu sebab utama projek MSC ini gagal ialah sektor awam sendiri tidak menyokongnya. Lihatlah senarai pembekal di kementerian dan jabatan kerajaan, mana ada syarikat bersatus MSC? Sepatutnya syarikat berstatus MSC diberikan keutamaan. Berita asal

