Malaysiakini
BERITA

Jurugambar NSTP meninggal semasa program mendaki

Diterbitkan

Seorang jurugambar berita NSTP dari Kuala Lumpur disahkan meninggal dunia sewaktu menyertai program mendaki di kawasan Pulau Tali Kali, Tasik Banding di Gerik hari ini.

Jurucakap Pasukan Bomba dan Penyelamat Perak berkata, pihaknya menerima maklumat berkaitan kejadian menimpa Zulkifly Ab Latif, 41, kira-kira jam 1.30 petang sebelum mengerahkan sepasukan anggota dan pegawai ke lokasi kejadian bagi kerja-kerja menyelamat.

“Pasukan dari Balai Bomba dan Penyelamat Gerik segera ke lokasi kejadian dengan menaiki bot Jabatan Perhutanan sebaik menerima panggilan mengenai kejadian untuk membawa mangsa keluar ke Jeti Tasik Banding,” katanya kepada Bernama.

Ketua Polis Daerah Gerik Supt Zulkifli Mahmood ketika dihubungi berkata, mangsa disahkan meninggal dunia oleh pasukan perubatan di lokasi kejadian.

“Jenazah mangsa sedang dibawa keluar untuk dihantar ke Hospital Gerik untuk dibedah siasat,” katanya.

Sementara itu, wartawan Utusan Malaysia Wat Kamal Abas, 48, yang turut menyertai pendakian itu berkata, ketika kejadian mangsa mengadu sesak nafas dan sakit pada dada sebelum muntah.

Dia kemudian menggeletar dan tidak sedarkan diri kira-kira jam 11.50 pagi.

“Hajat terakhir arwah telah dinyatakan kepada rakan media selepas makan malam semalam, iaitu menulis berita tentang Taman Negeri di Kelantan, kerana itu sahaja negeri yang belum sempat arwah jelajah untuk ditulis sebagai pengamal media,” katanya.

Program eksplorasi ekopelancongan selama tiga hari dua malam bermula Selasa disertai seramai 18 orang pengamal media dan mereka sepatutnya pulang hari ini.

Sementara itu, Kementerian Tenaga dan Sumber Asli dalam kenyataan merakamkan ucapan takziah kepada keluarga mangsa yang meninggal dunia ketika menyertai itu.

“Kementerian akan memberi bantuan yang bersesuaian dalam pengurusan jenazah.

"Semoga roh arwah dicucuri rahmat dan ditempatkan dalam kalangan mereka yang beriman dan beramal,” kata kenyataan tersebut.

- Bernama

Beri pendapat anda!

Jadi pelanggan Malaysiakini untuk menjadi pengulas berita. Anda dapat mengakses kandungan semua bahasa dan menulis komen di semua platform Malaysiakini.

Bersatu sokong media bebas.