Malaysiakini
BERITA

Harumanis Perlis kembali lagi

Diterbitkan
Dikemaskini 11 Apr 2021, 8:05 pagi

Sebanyak 3,336 tan matrik mangga Harumanis Perlis dijangka dihasilkan sepanjang tahun ini, dengan nilai pengeluaran RM66.7 juta, dan ia bakal memberi manfaat kepada 2,415 pengusaha Harumanis di seluruh negeri Perlis.

Menteri Pertanian dan Industri Makanan Datuk Seri Dr Ronald Kiandee berkata sehubungan itu promosi ‘Harumanis Kembali Lagi’ sehingga 30 Jun dilancarkan hari ini, yang akan melibatkan pembabitan semua pihak termasuk agensi kerajaan dan swasta.

Katanya industri tanaman mangga Harumanis ini bukan sahaja dapat meningkatkan pendapatan pengusaha, malah ia juga memberi impak ekonomi yang signifikan terhadap industri Agropelancongan dan industri hiliran negeri Perlis.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan promosi ‘Harumanis Kembali Lagi’ anjuran Jabatan Pertanian Malaysia di Kompleks Pertanian Bukit Temiang, Beseri dekat Padang Besar.

Turut hadir di majlis hari ini ialah Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Makanan I Datuk Seri Ahmad Hamzah, Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Makanan II Datuk Che Abdullah Mat Nawi, Ketua Setiausaha Kementerian Pertanian dan Industri Makanan Datuk Haslina Abdul Hamid dan Exco Pertanian Perlis Nurulhisham Yaakob.

Ronald berkata pihak Jabatan Pertanian Malaysia telah menjalin hubungan strategik dengan beberapa syarikat penghantaran seperti Pos Malaysia, Citylink dan Line Clear dengan mengambil kira pengalaman kaedah penghantaran ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) tahun lepas.

“Saya tidak mahu apa-apa (masalah) yang berlaku pada tahun lepas berulang lagi, apabila ketika itu kita tidak bersedia untuk penjualan secara dalam talian,” katanya.

Ronald berkata antara penambahbaikan yang dilakukan dalam penghantaran buah adalah penggunaan kotak tiga lapis yang lebih kukuh, lori khas digunakan untuk mengangkut Harumanis, dan pewujudan pusat pengumpulan Harumanis.

Katanya selain itu syarikat penghantar juga memberi jaminan bahawa penghantaran Harumanis akan sampai kepada pembeli tidak melebihi tempoh tiga hari selepas pesanan diterima.

- Bernama

Beri pendapat anda!

Jadi pelanggan Malaysiakini untuk menjadi pengulas berita. Anda dapat mengakses kandungan semua bahasa dan menulis komen di semua platform Malaysiakini.

Bersatu sokong media bebas.