Malaysiakini
BERITA

Pertahan Simpang Renggam? Tunggu PRU, kata Maszlee

B Nantha Kumar

Diterbitkan
Dikemaskini 11 Apr 2021, 9:43 pagi

Ahli Parlimen Simpang Renggam Dr Maszlee Malik berteka-teki ketika ditanya sama ada dia akan mempertahankan kerusinya pada pilihan raya umum (PRU) akan datang atau tidak.

Kata bekas menteri pendidikan itu, fokus utamanya buat masa ini adalah mewujudkan masyarakat terdidik.

"Mempertahankan Simpang Renggam? Ini kena tunggu pilihan raya.

"Saya berada dalam politik dan perjuangan saya adalah untuk menjadikan Malaysia sebagai sebuah negara membaca pada 2030.

"Saya pernah mulakan waktu menteri dulu dan saya akan teruskan.Tujuan saya nak mewujudkan masyarakat terdidik," katanya kepada pemberita ketika ditemui di Pesta Buku Alternatif Kuala Lumpur (KLAB 21) di pusat beli belah Sunway Putra Mall, Kuala Lumpur, hari ini.

Maszlee yang kini merupakan Ahli Parlimen Bebas, memenangi kerusi Simpang Renggam di bawah tiket Bersatu. 

Dia kemudian menyertai parti serpihan Bersatu, Parti Pejuang Tanah Air yang diterajui bekas perdana menteri Dr Mahathir Mohamad sebelum mengumumkan menjadi wakil rakyat bebas pada 1 Nov tahun lalu.

Terdahulu, Maszlee turut melancarkan bukunya yang bertajuk 'Be Eshme Elohim' dalam satu program tengah hari tadi.

KLAB21 merupakan edisi ke-12 anjuran Persatuan Patriot Malaysia (The Patriots) bersama Kuala Lumpur World Book Capital (KLWBC) dan Buku FIXI.

Beri pendapat anda!

Jadi pelanggan Malaysiakini untuk menjadi pengulas berita. Anda dapat mengakses kandungan semua bahasa dan menulis komen di semua platform Malaysiakini.

Bersatu sokong media bebas.