Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Guan Eng ulangi 'khemah besar' ketika ditanya kerjasama PH-Pejuang
Diterbitkan:  Apr 11, 2021 6:07 PM
Dikemaskini: 10:12 AM

Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng berkata Pakatan Harapan (PH) sedia menerima kerjasama sesiapa sahaja, asalkan bukan golongan yang digelar sebagai 'kleptokrat'.

Dia berkata demikian ketika ditanya mengenai kemungkinan kerjasama gabungan itu dengan Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) yang belum didaftarkan.

"Yang disebut ialah 'kheamah besar' seperti dalam kenyataan dikeluarkan oleh ketiga-tiga pemimpin Majlis PH ialah kita nak menggembleng semua parti-parti pembangkang supaya kita dapat buat satu barisan untuk lawan sama PN.

"Itulah sebab kita ada satu pakatan bersama untuk lawan itu PN. 

"Mana-mana pihak yang terima asas perjuangan PH, tak ada masalah, kecuali itu kleptokrat saja," katanya kepada wartawan ketika konvensyen DAP Negeri Sembilan di Seremban hari ini.

Ditanya apakah ini bermaksud ia tidak melibatkan pemimpin Umno yang menghadapi tuduhan rasuah atau digelar 'kluster mahkamah', Lim mengulangi pendirian Majlis Presiden PH semalam.

Pendirian itu hadir ketika kebocoran rakaman audio mirip suara Presiden PKR, Anwar Ibrahim dan Presiden Umno, Ahmad Zahid Hamidi yang menjurus kepada perbincangan untuk mengambil alih kerajaan PN.

Zahid yang menghadapi 47 tuduhan pecah amanah, rasuah dan pengubahan wang haram melibatkan jutaan ringgit milik Yayasan Akalbudi, menafikan bahawa dia adalah individu dalam rakaman audio tersebut.

Pendirian PH menandakan kesediaan untuk berkompromi selepas menemui jalan buntu apabila PKR enggan berunding dengan Pejuang mahupun Warisan yang membentuk blok mereka sendiri dalam pembangkang.

Sebaliknya, sekutu-sekutu dalam PH bimbang dengan tindakan Anwar berunding dengan pemimpin tertentu dalam Umno.

Lim berkata, pembangkang tidak boleh hilang tumpuan dengan isu rakaman audio berkenaan sebaliknya perlu memfokuskan  isu rakyat.

Dia juga menegaskan bahawa PH tidak terlibat dalam kerjasama politik dengan Umno namun masih boleh bekerjasama dalam isu-isu tertentu seperti pembukaan parlimen.

"Cara untuk menyelesaikan tiga krisis yang dihadapi ialah kesihatan, Covid, ketidakstabilan politik kerana kerajaan PN hilang majoritinya dan juga krisis econom di mana, satu, kita kena bantu rakyat baru kita menang Covid.

"Boleh menang krisis ekonomi dan juga politik, hanya bila kita bersatu bukan pecah belah rakyat," katanya.

Lihat Komen
ADS