Malaysiakini
BERITA

Tren Komuter terkeluar landasan, sebabkan kelewatan perjalanan

Diterbitkan

Sebuah tren komuter yang membawa 70 penumpang terkeluar daripada landasan di KM421.168 berhampiran Stesen Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) petang tadi.

Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) dalam kenyataan memaklumkan kejadian itu mengakibatkan perkhidmatan komuter mengalami kelewatan bagi perjalanan dari Stesen Batu Caves menuju ke Stesen Sungai Gadut, dan sebaliknya.

Menurut Ketua Pegawai Operasi KTMB Mohd Zain Mat Taha, tiada kemalangan jiwa yang melibatkan kakitangan mahupun orang awam dalam insiden itu.

Beliau berkata roda koc terakhir dan koc kedua terakhir tren itu telah terkeluar dari landasan menyebabkan laluan tren komuter dan perkhidmatan tren elektrik (ETS) terhalang sepenuhnya.

“Perkhidmatan KTM Komuter dan ETS laluan Gemas ke Padang Besar dan sebaliknya yang melalui laluan tersebut akan mengalami kelewatan ekoran insiden itu,” katanya.

Menurut kenyataan itu, perkhidmatan tren komuter dari Sungai Gadut/Pulau Sebang akan ditamatkan di Stesen Bangi manakala tren dari Stesen Batu Caves tamat di Stesen Kajang.

Sementara, prekhidmatan tren ETS akan ditamatkan di Stesen Batang Benar dan penumpang akan dipindahkan menaiki bas ke Stesen KL Sentral.

Bagi pengguna KTM komuter, KTMB memaklumkan pihaknya menyediakan bas perantara kepada penumpang terlibat dari Stesen Kajang ke Stesen Bangi dan sebaliknya, bagi meneruskan perjalanan ke destinasi masing-masing.

KTMB juga sedang giat menjalankan kerja pengalihan gerabak ke lokasi lebih selamat dan siasatan akan dijalankan bagi mengenal pasti punca kejadian itu, menurut kenyataan itu.

Orang ramai boleh mendapatkan maklumat lanjut dengan menghubungi Pusat Panggilan KTMB di 03-22671200 atau menerusi saluran media baru KTMB.

- Bernama

Beri pendapat anda!

Jadi pelanggan Malaysiakini untuk menjadi pengulas berita. Anda dapat mengakses kandungan semua bahasa dan menulis komen di semua platform Malaysiakini.

Bersatu sokong media bebas.