BN hadapi saingan sengit dalam pilihanraya akan datang
Dalam bahagian terakhir wawancara ini, Tony Pua memperkatakan tentang peluang Barisan Nasional (BN) dalam pilihanraya umum akan datang dan kewajaran Dasar Ekonomi baru (DEB).
Graduan Unversiti Oxford yang berusia 34 tahun dan memiliki sebuah syarikat berasaskan teknologi maklumat (IT) di Cyberjaya ini turut juga menyentuh tentang pelaksanaan sistem percukaian barangan dan perkhidmatan (GST).
Dalam bahagian terakhir wawancara ini, Tony Pua memperkatakan tentang peluang Barisan Nasional (BN) dalam pilihanraya umum akan datang dan kewajaran Dasar Ekonomi baru (DEB).
Graduan Unversiti Oxford yang berusia 34 tahun dan memiliki sebuah syarikat berasaskan teknologi maklumat (IT) di Cyberjaya ini turut juga menyentuh tentang pelaksanaan sistem percukaian barangan dan perkhidmatan (GST).
Malaysiakini: Bagaimana anda melihat peluang BN dalam pilihanraya umum akan datang?
Pua: Agak sukar bagi BN untyuk mengekalkan pencapaian cemerlang dalam pilihanraya 2004. Dari perspektif ekonomi, ia banyak bergantung pada sejauh mana peruntukan RM27 bilion untuk sektor pembinaan diagihkan kepada orang Melayu yang menyokong kerajaan di akar umbi. Sejak dua tiga tahun lalu banyak kontraktor Melayu yang ketiadaan kerja atau projek.
Jika kontrak diagihkan secara seimbang dan menyeluruh ke akar umbi, mungkin prestasi BN tidak akan terlalu buruk. Tetapi jika ia tidak diagihkan dengan baik atau diselewengkan oleh orang atau kumpulan tertentu, BN akan menghadapi masalah besar.
Malaysiakini: Dari mana mereka dapat duit untuk pilihanraya?
Pua: Saya rasa salah satu caranya melalui pemberian kontrak kepada ketua bahagian parti-parti berkenaan. Sebagaimana dalam pilihanraya-pilihanraya yang lepas, semua ketua bahagian yang mendapat kontrak akan mempunyai dana pilihanrayanya untuk membiayai kempen mereka.
Tetapi jika mereka mengamalkan ketelusan dalam pemberian kontrak sebagaimana yang diwar-warkan oleh kerajaan sekarang, ramai ketua-ketua bahagian atau kontraktor tidak akan mendapat habuan mereka sewenang-wenangnya kali ini. Jika senario ini berlaku kita akan menyaksikan banyak pihak tidak berpuas hati.....malah kita telah melihatnya sekarang di mana telah berlaku pergolakan dalam bahagian-bahagian Umno. Saya rasa ini semua berpunca dari faktor-faktor kecil ini.
Dulu semua ahli Umno patuh pada pucuk pimpinan kerana masing-masing mendapat bahagiannya. Sekarang mereka mula mempersoalkan untuk apa terus setia sedangkan tidak mendapat apa-apa. Dengan adanya Dr Mahathir, kini mereka menjadi lebih berani.
Malaysiakini: Apa pendapat anda tentang potongan cukai korporat?
Pua: Potongan cukai adalah suatu yang baik. Cukai adalah satu elemen penting yang mula-mula sekali akan diambilkira oleh pelabur asing apabila peri ke sesuatu negara.
Singapura mempunyai cukai korporat sebanyak 20 peratus manakala Malaysia, 28 peratus. Ini adalah satu perbezaan yang besar. Lapan peratus daripada satu bilion Dolar adalah sejumlah wang yang banyak. Mengapa mesti saya biarkan syarikat saya membayar cukai 28 peratus jika di negara lain cukainya lebih rendah dan infrastrukturnya lebih baik?
Satu-satunya alasan yang akan menarik pelabur melabur di sesebuah negara ialah keutamaan dan kelebihan yang akan diperolehinya bagi menampung pengorbanan yang dibuatnya. Kerana para pelabur sanggup memilih tempat yang struktur cukainya rendah dan menguntungkakan walaupun infrastruktur sesuatu negara itu agak buruk dan pentadbirannya dilanda rasuah atau kurang keberkesanan.
Potongan cukai memang penting tetapi dalam melaksanakannya kita perlu menguruskannya dengan baik. Kerajaan mungkin boleh membuat potongan yang lebih besar jika perbelanjaan tidak meningkat.
Saya tidak fikir kita perlu menurunkan cukai korporat kita separas dengan Hong Kong atau Singapura ketika ini, memadailah dalam tempoh beberapa tahun akan datang ia berada antara 23 hingga 25 peratus.
Malaysiakini: Apa pula pendapat anda tentang cukai barangan dan perkhidmatan (GST)?
Pua: Saya tidak fikit GST akan dilaksanakan sebelum pilihanraya umum akan datang. Kerajaan bertindak gila jika melaksanakan GST sebelum pilihanraya. Melihat pada suasana semasa, GST amat wajar dikenakan kerana ia mengenakan cukai terhadap mereka yang memberi barangan berkenaan sahaja.
Orang kaya akan dikenakan lebih cukai jika mereka berbelanja lebih. Orang miskin tidak membeli kereta-kereta mewah dan sebagainya, jadi mereka tidak perlu membayar cukai tersebut. Bagi kita yang sudah biasa membayar cukai pendapatan, tentunya akan merasa terbeban kerana perlu membayar cukai untuk berangan pula. Tetapi dari aspek keberkesanan sistem cukai, GST adalah kaedah yang lebih baik berbanding sistem cukai pendapatan.
Malaysiakini: Bagaimanapun pula dengan isu DEB?
Pua: Secara peribadi saya berpendapat dasar memberi bantuan atau sokongan kepada kumpulan tertentu ini perlu diadakan. Kita selalu menyebut mahukan kesaksamaan dan keadilan untuk semua dan salah satu cara untuk mencapai hasrat baik itu ialah dengan mengadakan dasar membantu kumpulan tertentu bagi membolehkan mereka membaiki diri dan berdaya saing. Memandangkan di negara ini ada kumpulan atau kaum yang ketinggalan, maka kita perlu menanganinya.
Bagaimanapun masalahnya sekarang ialah kita mempunyai dasar yang memberi menafaat kepada satu segmen dalam komuniti yang hendak dibantu itu. Kalau DEB hanya menguntungkan golongan kaya dalam masyarakat Melayu, maka dasar itu telah gagal.
Kita telah saksikan jurang antara orang kaya dan miskin dalam semua masyarakat sejak lima tahun kebelakangan ini semakin kecil. Tetapi adakah peratusan penurunan itu paling besar dalam masyarakat Melayu?
Kalau DEB menjadikan golongan Melayu yang kaya makin kaya dan yang miskin makin miskin, itu bermakna dasar ini telah gagal.
Malaysiakini: Bagaimana dengan tindakan bantuan dan sokongan dalam bidang pendidikan? Kerajaan menggunakan sistem meritokrasi dalam kemasukan pelajar ke institusi pengajian tinggi tetapi dalam pemberian biasiswa, terdapat banyak kekaburan...
Pua: Tidak salah kerajaan memberi biasiswa tetapi sampai bila ia mesti diberi? Satu jangka waktu untuk menamatkan pemberian biasiswa mesti diadakan apabila golongan miskin sudah mampu untuk berdikari. Dasar yang diamalkan oleh kerajaan sekarang seolah-olah biasiswa akan kekal sampai bila-bila di bawah sistem kuota 80 peratus untuk Bumiputera dan 20 peratus untuk bukan Bumiputera. Cuma tahun ini kuota berubah sedikit dengan 24 peratus diberikan kepada pelajar Cina. Persoalannya, bila sistem ini akan berubah?
Kerajaan mesti mempunyai dasar untuk menghentikan bantuan kewangan ini apabila sistem kuota itu telah mencapai matlamatnya. Satu mekanisme penyesuaian perlu diadakan bagi memastikan sebaik sahaja matlamat sistem kuota tercapai, dasar itu akan terhenti dengan sendirinya.
Makanisme inilah yang tiada dalam semua aspek DEB. Sistem kuota yang ada tidak diketahui bila akan berakhir.
Malaysiakini: Bagaimana pula dengan jurang teknologi maklumat (IT)?
Pua: Jurang IT di negara ini tidaklah begitu teruk. Memang wujud jurang tersebut tetapi dari segi akses Internet dan celik komputer, rakyat Malaaysia tidak begitu ketinggalan jika dibandingkan negara membangun lain.
Malah kalau dibandingkan dengan negara majupun, kedudukan kita tidaklah teruk sangat. Lihat sahaja pada jumlah blog yang diwujudkan oleh rakyat negara ini, statistiknya agak tinggi. Jumlah blog di Malaysia adalah antara yang tertinggi.
Dari perspektif ini, sekurang-kurangnya generasi muda kita tidak ketinggalan dalam bidang IT. Malah di kalangan orang Melayupun, kadar celik ITnya adalah tinggi. Kita bukan mahu setiap orang tahu membuat program komputer, memadailah jika tahu menggunakannya untuk tujuan produktif. Kemampuan mereka untuk menggunakan telefon, ICQ atau menghasilkan blog sendiri menunjukkan paras celik IT negara ini adalah baik.
Malaysiakini: Orang yang macam manakah yang anda ambil berkerja di syarikat anda?
Pua: Saya suka mengambil mereka yang baru menamatkan pengajian.Saya tidak mengutamakan pengalaman kecuali kalau saya mempunyai sebab tertentu untuk menggunkan mereka. Saya memilih graduan baru yang mempunyai potensi untuk maju.
Bagi saya kalau seseorang itu tidak mempunyai potensi, latihan atau bantuan yang sebanyak manapun tidak akan mendatangkan hasil yang baik. Seseorang pekerja tidak perlu tahu segala-galanya. Yang penting mereka mempunyai sikap dan otak yang baik. Berita asal
---------------------------------------------------------------------------Pua mempunyai blog mengenai pendidikan di educationmalaysia.blogspot.com

