Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
‘Tanda tanya balik raya: Jelas darurat tak berjaya kawal Covid-19’
Diterbitkan:  Apr 14, 2021 12:31 PM
Dikemaskini: 4:32 AM

Bekas perdana menteri, Najib Razak menyifatkan tiga bulan pelaksanaan perintah kawalan pergerakan (PKP) 2.0 dan proklamasi darurat masih gagal mengawal penularan wabak Covid-19.

Melihat situasi terkini jangkitan Covid-19 di negara ini, Najib mempersoalkan sama ada pelaksanaan dua langkah berkenaan oleh kerajaan berkesan atau sebaliknya.

Najib turut memuat naik statistik Covid-19 semalam yang direkodkan Kementerian Kesihatan (KKM)

"Apakah ia berkesan? Adakah pelaksanaan darurat berjaya menghentikan penularan Covid-19?

"Malah, kadar kebolehjangkitan Covid-19 atau Ro/Rt diberi KM juga naik lagi ke 1.09 (di atas paras neutral 1.00) semalam - iaitu petunjuk bahawa jumlah jangkitan baru adalah dalam trend menaik.

"Jelas membuktikan bahawa perlaksanaan darurat tidak berjaya menghentikan penularan Covid dan harapan mencapai sasaran darurat+PKP2.0 bagi jumlah kes turun ke dua angka pada bulan Mei semakin malap," katanya dalam hantaran di Facebooknya, hari ini.

Pada Jan lalu, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah memberi perkenan supaya Pengisytiharan Proklamasi Darurat dilaksanakan sehingga 1 Ogos atau lebih awal jika kes Covid-19 harian dapat dikawal.

Perdana Menteri Muhyiddin Yassin berkata parlimen akan digantung dan pilihan raya tidak akan diadakan, tetapi badan kehakiman, kerajaan awam dan kegiatan ekonomi akan berjalan seperti biasa.

PKP 2.0 untuk tempoh 14 hari bermula jam 12.01 tengah malam, Rabu, 13 Januari 2021 sehingga 26 Januari 2021.

Perintah itu membabitkan tiga peringkat pelaksanaan iaitu PKP ke atas enam negeri iaitu Pulau Pinang, Selangor, Wilayah Persekutuan (Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan), Melaka, Johor dan Sabah

Dalam pada itu, ahli parlimen Pekan berkata, situasi berkenaan jelas memberi gambaran bahawa kebenaran untuk rentas negeri ketika Aidilfitri hampir pasti tidak dapat diberikan.

"Adalah kesilapan besar apabila kerajaan Perikatan Nasional (PN) degil untuk melaksanakan PKP yang singkat tapi amat ketat tanpa kelonggaran tetapi pilih untuk buat PKP separuh masak dengan segala kelonggaran bagi kilang-kilang, Ikea, shopping mall, Victoria's Secret, kedai emas dan sebagainya pula pada permulaan PKP 2.0.

"Akibatnya, kebenaran rentas negeri sempena Aidilfitri menjadi tanda tanya besar," kata Najib lagi

Lihat Komen
ADS