Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Larang puasa: Polis bongkar aktiviti judi, ceti haram majikan

Susulan kes pukul dua orang pengawal peribadi oleh majikan kerana berpuasa semalam telah membawa kepada pembongkaran aktiviti judi haram dan sindiket ceti haram atau Along yang dijalankan syarikat milik majikan terbabit.

Ketua Polis Selangor Datuk Arjunaidi Mohamed berkata pembongkaran tersebut dibuat lanjutan daripada penahanan empat individu malam semalam yang merupakan pekerja kepada majikan tersebut yang kini direman selama lima ke tujuh hari bermula hari ini bagi membantu siasatan.

Beliau berkata satu serbuan dibuat pada 10 malam di sebuah rumah seorang daripada suspek di Bukit Tinggi di Klang dan merampas sepucuk pistol dan 10 butir peluru serta rotan yang digunakan untuk memukul kedua-dua mangsa.

Katanya senjata api itu adalah di bawah kawalan seorang daripada mangsa dan kepunyaan syarikat kawalan keselamatan.

“Hasil penangkapan tersebut turut membawa kepada penemuan 100 kg jongkong emas dan 12,500 not kertas US$100 dengan nilai keseluruhan rampasan dianggarkan berjumlah RM28.25 juta di rumah tersebut,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah Klang Selatan hari ini.

“Siasatan awal mendapati majikan mangsa yang berusia 44 tahun itu terlibat dalam kegiatan Along dan judi haram,” katanya sambil menambah majikan terbabit turut ditahan semalam di Dang Wangi.

Beliau berkata kes tersebut kini disiasat mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan (KK) kerana mendatangkan kecederaan, Seksyen 298 KK kerana menghina Islam dan Seksyen 307 Kanun Keseksaan kerana cubaan membunuh.

Selain itu katanya, polis juga akan menyiasat kes tersebut di bawah Seksyen 4(1) Akta pencegahan Pengubahan Wang haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram 2001 serta Seksyen 5 (2) Akta Pemberi Pinjam Wang (APPW) 1951.

Pada masa yang sama, beliau mengingatkan orang ramai untuk tidak mengaitkan kes tersebut dengan isu perkauman. 

- Bernama

Lihat Komen
ADS