Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Polis soal siasat suami Zeti selama 3 jam
Diterbitkan:  Apr 15, 2021 6:51 PM
Dikemaskini: 1:32 PM

Polis menyoal siasat suami bekas gabenor Bank Negara, Zeti Akthar Aziz, Tawfiq Ayman pagi ini, menurut laporan berita.

Laporan theedgemarkets.com yang memetik sumber menyatakan kenyataan Tawfiq dirakam selama tiga jam oleh Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) polis persekutuan.

Perkara ini disahkan oleh Pengarah JSJK Bukit Aman Zainuddin Yaacob ketika dihubungi Malaysiakini petang tadi.

"Ya, dia dipanggil untuk rakam kenyataan dan bantu siasatan polis," katanya melalui mesej teks.

Laporan itu juga mendakwa bahawa kenyataannya dirakam oleh pegawai penyiasat 1MDB, Foo Wei Min.

Tawfiq, yang ditemani peguamnya Jagjit Singh, dipercayai dipanggil untuk disoal siasat untuk membantu siasatan terhadap dakwaan bahawa dana 1MDB dipindahkan ke sebuah firma yang berpusat di Singapura yang dikendalikan oleh dia dan anaknya.

Bulan lalu, Zainuddin mengatakan bahawa kes itu disiasat di bawah Seksyen 4 (1) (a) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram 2001 (Akta 613) ('AMLA').

Ini selepas The Edge melaporkan bahawa sejumlah AS$16.22 juta telah disalurkan ke firma Singapura, Iron Rhapsody Ltd.

Laporan itu menyatakan bahawa polis Singapura telah memberitahu Bank Negara pada tahun 2015 dan 2016 mengenai transaksi yang mencurigakan.

Zeti masih menjadi gabenor Bank Negara pada masa itu.

AS$16.22 juta dilaporkan berasal dari syarikat/akaun bank Jho Low, yang dianggap sebagai dalang di sebalik skandal 1MDB.

Berikutan itu, The Center for Combat Corruption and Cronyism (C4) mempersoalkan sama ada Zeti, yang kini menjadi ketua Pemodalan Nasional Bhd, mengetahui transaksi yang dikatakan berlaku itu.

C4 juga mempersoalkan apakah bekas perdana menteri Dr Mahathir Mohamad mengetahui mengenai perkara itu ketika dia melantiknya dalam majlis penasihat kerajaan ketika pentadbiran PH.

Lihat Komen
ADS