Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
N Sembilan tutup bazar Ramadan 3 hari jika ingkar SOP - MB

Bazar Ramadan di negeri ini yang didapati melanggar prosedur operasi standard (SOP) bakal berdepan tindakan penutupan operasi selama tiga hari, kata Menteri Besar Negeri Sembilan Datuk Seri Aminuddin Harun.

Beliau berkata peringatan itu diberikan kepada semua pihak termasuk pengusaha bazar dan orang ramai bagi mengelakkan wujudnya kluster baharu COVID-19 berpunca daripada bazar Ramadan.

"Saya mendapat maklumat bahawa bazar Ramadan di Nilai dekat sini ada berlaku sedikit masalah tetapi saya sudah meminta Datuk Bandar memanggil dan memberi peringatan kepada semua pengusaha bazar untuk mematuhi SOP.

"Kita juga serahkan kepada pihak berkuasa untuk mengambil tindakan lain termasuk kompaun jika mereka masih ingkar arahan berkenaan," katanya kepada pemberita selepas program Integrasi Sosial dan Outreach Rujukan Raya Tanpa COVID - Jom Shopping Raya di Seremban hari ini.

Aminuddin berkata selain Nilai, bazar Ramadan di Seremban juga dilaporkan mempunyai masalah dari aspek pematuhan SOP, namun daerah lain berada dalam keadaan baik dan lancar.

Justeru, beliau sekali lagi menasihati orang ramai untuk tidak mengabaikan SOP ditetapkan bagi mengelakkan penularan kes COVID-19 sekali gus memastikan supaya kegiatan ekonomi terus dapat dijalankan seperti biasa.

Dalam pada itu, tinjauan Bernama di bazar Ramadan Nilai mendapati situasi di bazar itu lebih teratur dan tersusun hari ini berbanding pada hari pertama ia dibuka dengan penglibatan beberapa anggota penguat kuasa dan pegawai kesihatan membuat pemantauan.

- Bernama

Lihat Komen
ADS