Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Peningkatan kes Covid-19: Kelantan seru rakyat buat solat hajat
Diterbitkan:  Apr 18, 2021 1:04 PM
Dikemaskini: 5:28 AM

Kerajaan Kelantan menyeru rakyat negeri itu mengadakan solat hajat susulan peningkatan kes Covid-19 di negeri itu.

Menteri Besar Kelantan, Ahmad Yakob menyeru rakyat Kelantan berbuat demikian susulan penguatkuasaan semula Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bermula 16 April hingga 29 April serta kewujudan beberapa kluster baharu yang semakin membimbangkan.

“Sepanjang tempoh PKP ini, semua rakyat diminta untuk mengadakan solat hajat di masjid dan kediaman masing-masing, memperbanyakkan bacaan al-Quran dan bersedekah.

“Mudah-mudahan dengan amalan taqarrub (menghampirkan diri kepada Allah) tersebut dan dengan keberkatan bulan Ramadan wabak ini dapat dibendung,” katanya dalam kenyataan media hari ini.

Tambahnya lagi, negeri Kelantan telah mencatat kadar kebolehjangkitan paling tinggi di Malaysia iaitu 1.32 berbanding kadar kebangsaan 1.19.

Pada masa sama, masih terdapat 2,627 sampel yang belum mendapat keputusan ujian selain kakitangan kesihatan juga berdepan masalah fasiliti yang terhad.

“Lebih membimbangkan lagi, penggunaan katil hospital dan PKPRC semakin meningkat. Sebanyak 23 peratus kes dikesan tidak melibatkan kontak rapat yang mana menunjukkan jangkitan dalam komuniti yang sangat tinggi,” katanya.

Dia juga berkata penutupan sekolah turut dilaksanakan bagi mengurangkan penularan wabak ini.

“Langkah penutupan sekolah-sekolah dalam kawasan PKP terpaksa dilaksanakan berikutan 30 peratus jangkitan adalah dalam kalangan warga sekolah.

“Sehubungan dengan itu, beberapa langkah akan dimabil bagi mengatasi penularan di tempat kerja, sekolah, masjid dan komuniti,” katanya.

Hari ini Malaysiakini melaporkan penutupan semua sekolah membabitkan tujuh daerah di bawah perintah kawalan pergerakan (PKP) di Kelantan bermula hari ini sehingga Khamis. 

Sementara itu, Ahmad mengingatkan rakyat negeri Kelantan agar sama-sama mengambil peranan untuk membendung penularan wabak ini.

“Kerajaan negeri juga menyeru kepada seluruh rakyat negeri Kelantan dan semua pihak untuk sama-sama mengambil peranan dan tanggungjawab bagi membendung penularan dengan memastikan saranan serta SOP yang ditetapkan sentiasa dipatuhi.

“Semoga Allah SWT memberi perlindungan dan kesejahteraan kepada negeri Kelantan daripada wabak Covid-19,” katanya.

Lihat Komen
ADS