Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
MB Perak: RM200,000 untuk baiki bumbung 127 rumah terjejas ribut
Diterbitkan:  Apr 18, 2021 2:28 PM
Dikemaskini: 6:28 AM

Kerajaan Perak memperuntukkan hingga RM200,000 untuk membaik pulih 127 rumah di Kampung Tasek di Ipoh yang rosak teruk akibat kejadian ribut pada Rabu lepas.

Menteri Besar Datuk Saarani Mohamad berkata kerja membaik pulih kediaman terbabit yang rata-rata mengalami kerosakan pada bumbung akan bermula esok.

Yayasan Perak juga menyumbang kotak berisi makanan kering bagi kegunaan isi rumah," katanya ketika menyampaikan Tabung Bantuan Bencana buat mangsa ribut Kampung Tasek hari ini.

Dalam kejadian pada hari kedua umat Islam menyambut Ramadan itu, hujan lebat dan angin kencang hampir dua jam turut menyebabkan lebih 20 batang pokok besar serta beberapa batang tiang elektrik tumbang menimpa kenderaan dan rumah.

Seorang suri rumah Zainoyah Nordin, 52, berkata kejadian berlaku ketika dia sekeluarga sedang melakukan persiapan untuk berbuka puasa.

“Kejadian berlaku dengan pantas dan kami tidak mampu berbuat apa-apa. Saya nampak satu angin putih yang melintasi rumah sebelum bumbung rumah saya terangkat. Bunyi hujan seolah-olah hujan batu,” katanya kepada pemberita.

Dia bagaimanapun bersyukur kerana semua ahli keluarganya selamat dan mereka masih dapat berbuka puasa walaupun dalam keadaan basah kuyup dan gelap-gelita.

Seorang lagi mangsa, Syahrul Hisyam Saharin, 49, meluahkan rasa sayu kerana hampir keseluruhan rumahnya musnah dalam kejadian itu.

Dia yang bekerja sebagai pengawal keselamatan berkata dinding rumahnya tercabut akibat dipukul angin badai.

"Saya tidak fikir panjang, saya terus tarik tangan anak saya yang kurang upaya untuk melindunginya sambil melaungkan azan sewaktu ribut melanda. Saya angkat dia dan masukkan ke dalam kereta,” katanya yang kini menginap di rumah tumpangan sementara menunggu rumahnya dibaiki.

- Bernama

Lihat Komen
ADS