Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Pemuda Umno 'dungu' dakwa Dr M sokong PM, kata pembantu
Diterbitkan:  Apr 18, 2021 2:56 PM
Dikemaskini: 9:33 AM

“Pemuda Umno kekal dungu," kata Malique Redzuan, pembantu kepada bekas perdana menteri Dr Mahathir Mohamad.

Malique merujuk dakwaan Pemuda Umno bahawa kehadiran  Dr Mahathir dalam majlis Menteri Pembangunan Luar Bandar Abdul Latiff Ahmad tanda dia menyokong pentadbiran kerajaan Muhyiddin Yassin.

“Kehadiran Tun (Mahathir) dijemput menteri sebab dia ahli parlimen Langkawi.

“Dia tak minta cuma niat nak rai orang Langkawi dan syarikat yang berbakti kepada rakyat situ .

“Mula dan akhir ucapan terang-terang sebut dia lawan kerajaan,” kata Malique menerusi akaun Twitter.

Dia berkata demikian bagi mengulas komen Umno yang menunjukkan Mahathir memberi ucapan yang berlatar belakang sepanduk majlis kementerian itu pada Jumaat lalu.

Sepanduk itu jelas memperlihatkan ia merupakan majlis penghargaan bagi rakan strategik kementerian bawah pimpinan Abdul Latiff.

Berkongsi gambar tersebut di akaun Facebook, Pemuda Umno berkata: “Boleh tengok siapa di belakang Perikatan Nasional (PN)” sebelum menyatakan bahawa Mahathir telah menipu orang ramai.

Malique menjelaskan rasa tidak senang terhadap komen itu namun berkata dia menghormati bulan Ramadan dan akan menahan diri daripada membuat kecaman.

“Kalau tak puasa ini sah (aku akan) kecam hangpa (Pemuda Umno),” katanya beserta tanda pagar #KerajaanGagal yang ditujukan kepada kerajaan Muhyiddin. 

Dr M: Untuk hargai pihak swasta

Sementara itu, Mahathir dalam hantaran di Facebook turut menjelaskan kehadirannya di acara itu tidak bermakna dia menyokong kerajaan.

Katanya, kehadirannya untuk menunjukkan penghargaan kepada pihak swasta yang bersama-sama membantu rakyat.

"Sebagai wakil rakyat, saya hadri ke acara anjuran Kementerian Pembangunan Luar Bandar ini bagi menghargai pihak swasta yang bersama-sama membantu rakyat Langkawi melalui agensi kerajaan.

"Kehadiran saya ini tidak punyai kaitan politik sama sekali. Ini bukanlah bermakna saya sudah jadi penyokong Kerajaan. Saya masih dalam parti lawan.

"Perjuangan saya dari dulu hingga sekarang masih sama, iaitu mahu orang Melayu tidak ketinggalan di negara mereka sendiri," katanya semalam.

Dia juga membangkitkan keperluan program latihan dan kemahiran selain agihan bantuan semata-mata.

Lihat Komen
ADS