Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Maszlee gesa k'jaan perinci kluster berkait institusi pendidikan
Diterbitkan:  Apr 19, 2021 5:22 PM
Dikemaskini: 9:22 AM

Bekas menteri pendidikan, Maszlee Malik menuntut penjelasan kerajaan berhubung peningkatan kadar jangkitan wabak Covid-19 di institusi pendidikan mutakhir ini.

Maszlee yang juga ahli Parlimen Simpang Renggam berkata ini kerana rakyat ingin tahu kluster manakah yang melibatkan sekolah, politeknik, kampus Institut Pendidikan Guru (IPG), universiti mahupun kolej yang kini terdedah kepada wabak berbahaya itu .

"Rakyat umumnya menghargai segala usaha kerajaan untuk membendung wabak dari terus menular.

"Bagaimanapun, rakyat ingin tahu kluster manakah yang melibatkan sekolah, politeknik, kampus IPG, universiti mahupun kolej," katanya.

Menurut Maszlee, rakyat juga ingin tahu apakah langkah yang telah dan akan diambil dalam keadaan terkini demi membendung wabak itu dan juga mengelakkan spekulasi liar dalam kalangan masyarakat setempat yang terkait dengan kluster-kluster tersebut.

"Hal ini perlu diperjelaskan kepada pihak awam dan mengapa tindakan tersebut diambil juga perlu dikongsikan.

"Kerana situasi itu bukan sahaja menimbulkan rasa cemas di kalangan pelajar, guru, ibu bapa dan penjaga, sebaliknya anggota masyarakat secara amnya.

"Oleh itu, KPM dan KPT harus tampil untuk memberikan penjelasan. Para pemegang taruh perlu ditenteramkan.

"Rakyat semakin matang, maka pendekatan mendidik dan berkongsi informasi secara telus amat penting. Atas kesedaran ini, kami menuntut agar menteri-menteri berkaitan untuk tampil memberikan penjelasan yang sepatutnya," katanya.

Kerajaan Sarawak sebelum ini mengarahkan semua sekolah yang berada dalam zon merah di negeri berkenaan ditutup selama 14 hari mulai esok, susulan trend peningkatan kes jangkitan baru Covid-19.

Semalam, Jabatan Pendidikan Negeri Kelantan mengarahkan agar semua sekolah dan institusi pendidikan di tujuh jajahan yang dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan di negeri itu ditutup hingga 24 April depan.

Lihat Komen
ADS