Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
KKM siasat dakwaan pegawai kesihatan Perak kompaun pelajar RM1,500
Diterbitkan:  Apr 20, 2021 10:18 AM
Dikemaskini: 2:18 AM

Jabatan Kesihatan Perak menjalankan siasatan berhubung dakwaan kompaun RM1,500 yang dikenakan terhadap beberapa pelajar di kolej matrikulasi negeri itu kerana tidak memakai pelitup muka di kawasan kampus.

Semalam beberapa pelajar Kolej Matrikulasi Perak mendedahkan melalui Twitter mengenai tindakan pegawai kesihatan mengeluarkan kompaun semasa datang untuk menyiasat kes keracunan makanan di sebuah kafe di situ.

Seorang pengguna Twitter @NabilAmirul4 turut berkongsikan perkara itu.

Ciapan berkenaan turut disertakan dengan gambar kejadian dan kapsyen yang mempersoalkan jumlah denda tersebut.

"Pelajar matrikulasi Perak kena kurung sepanjang semester tetapi KKM (Kementerian Kesihatan Malaysia) masuk kafe (di kolej) pergi kompaun RM1,500 dekat pelajar.

"Kami punya elaun selama enam bulan pun hanya RM1,250," ciapnya.

Menjawab ciapan itu, Ketua Pengarah Kementerian Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah berkata Jabatan Kesihatan Perak akan segera menjalankan siasatan mengenai perkara itu.

“Siasatan segera sedang dijalankan oleh Jabatan Kesihatan Negeri Perak. Terima kasih atas aduan kepada KKM ini dan perkara ini akan diambil tindakan secepat mungkin,” katanya di Twitter malam tadi.

Sementara itu, Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman, dalam ciapannya turut mempersoalkan tindakan 'double standard' terbabit.

"Kalau pelajar, tidak perlu buka kertas siasatan, kompaun terus. Dah banyak kali kita tegur pelaksanaan double standard macam ini.

"Apa salahnya tegur dulu sebelum kompaun? "Apa yang susahnya? soal Syed Saddiq.

Seorang lagi pengguna Twitter @ainurjannxh mendakwa kejadian itu berlaku pada 19 April lalu ketika pegawai KKM mengunjungi kolejnya.

"Salah seorang rakan saya yang baru balik dari kelas pakai pelitup muka, berjalan dari blok akademik ke kafe.

"Disebabkan cuaca panas dan pakai pelitup muka semasa turun tangga ke cafe, dia tarik pelitup muka ke bawah sebab tak cukup nafas. Tiba-tiba, salah seorang pegawai KKM memanggilnya.

"Tanpa amaran, tanpa peringatan dan tak tanya, terus minta nama, kad pengenalan dan alamat rumah kena kompaun RM1,500.

"(Dia) kena bayar denda dalam masa dua minggu di Pejabat Kesihatan Kampar, kalau tidak, ke mahkamah," katanya.

[Baca berita asal]

Lihat Komen
ADS