Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Bekas ahli al-Maunah syukur dapat berpuasa dengan ibu lepas 20 tahun

Sesudah 20 tahun di penjara, sudah berpuluh-puluh kali juga Che Sabri Che Jaafar terpaksa melalui Ramadan dengan cara yang terbatas, sama ada secara fizikal atau semangat.

Di sebalik tembok tebal yang mengekang seluruh perbuatannya itulah dia menjalani puasa sendirian, sehinggalah pada 17 Ogos tahun lalu apabila dia dibebaskan dengan perkenan Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdulllah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

Kali ini Che Sabri, 51, begitu bersyukur kerana dapat menjalani ibadah puasa bersama ibu tercintanya selepas sekian lama tidak dapat berbuat demikian.

Tambahan pula ibunya itu, Rohmah Karim, 79, kini dalam keadaan uzur.

Asalnya dia dihukum penjara sepanjang hayat pada 2000 kerana pembabitannya dalam kumpulan Al-Maunah dan disabitkan bersalah atas pertuduhan melancarkan perang ke atas Agong.

"Ramadan tahun ini sangat bermakna sebab saya dapat menyediakan makanan sahur dan berbuka untuk ibu yang sudah uzur.

"Selama 20 tahun dipenjara, akhirnya saya masih berpeluang untuk menjaga dan berbakti kepada ibu.

"Tahun lalu saya masih dipenjara, tak ada siapa sangka pada tahun ini saya dapat menjalani ibadat puasa dengan menghirup udara yang bebas," katanya.

Che Sabri ditemui di rumahnya di Kampung Pulai Chondong, Machang, Kelantan, semalam.

Ada yang terpaksa ditolak

Anak keempat daripada 10 beradik itu kini berazam untuk menjaga serta menguruskan ibu yang bukan saja uzur malah kedua-dua matanya juga tidak lagi dapat melihat.

"Walaupun adik beradik lain ada, tapi biarlah saya yang jaga dan menguruskan keperluan ibu memandangkan sudah 20 tahun saya terlepas peluang berbakti kepadanya.

"Saya amat bersyukur kerana Ramadan tahun ini masih diberi kesempatan untuk berpuasa bersama ibu dan dalam masa sama turut menjadi imam solat sunat tarawih di rumah memandangkan ibu tidak boleh bergerak dan hanya terlantar di atas katil," katanya.

Kata Che Sabri, apa yang dialaminya terasa bagai mimpi walau hakikatnya kini sudah bebas menjalani kehidupan normal seperti insan. Sebelum ini dia dipenjara di Sungai Buloh dan Kajang sebelum dipindahkan ke Pengkalan Chepa.

Lebih menggembirakannya, Ramadan kali ini turut diserikan dengan hadirnya orang ramai yang mahu menggunakan khidmatnya sebagai tukang jahit.

Ia merupakan kemahiran yang dipelajarinya ketika bergelar banduan. Dengan berbekalkan kemahiran itulah dia membuka kedai jahitan sendiri sejak Okt lalu.

Cuma kata Che Sabri dia hanya bersendirian mengendalikan kedai jahit itu. Justeru sesetengah tempahan yang datang terpaksa ditolak atau diserahkan kepada kawannya untuk disiapkan agar pelanggan tidak kecewa.

"Alhamdulillah ramai penduduk setempat yang datang ke kedai untuk menjahit pakaian dan secara tidak langsung mereka juga memberi sokongan kepada saya untuk terus memajukan diri dalam bidang ini.

"Sempena Adilfitri yang bakal disambut tahun ini juga, saya menerima hampir 100 tempahan baju Melayu, tetapi sebahagiannya terpaksa ditolak kerana tidak mampu disiapkan dalam tempoh dikehendaki.

"Ada juga sebahagian tempahan saya hantar kepada rakan bekas banduan yang ada kemahiran sama untuk dijahit, sekali gus membantu mereka menjana pendapatan," katanya.

Lihat Komen
ADS