Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
2,341 kes baru, rekod tertinggi di Kelantan
Diterbitkan:  Apr 20, 2021 3:38 PM
Dikemaskini: 11:51 PM

Kementerian Kesihatan (KKM) memaklumkan terdapat 2,341 kes baru Covid-19 yang dilaporkan hari ini berbanding 2,078 kes semalam. Ini menjadikan jumlah kumulatif jangkitan virus setakat ini adalah 379,473 kes.

Kebanyakan kes melibatkan warga Malaysia (94.36 peratus), menunjukkan sektor yang bergantung kepada pekerja asing bukan lagi punca utama penularan jangkitan.

Sebanyak 37.85 peratus jangkitan (886 kes) dilaporkan di Lembah Klang, manakala 29.18 peratus jangkitan (683 kes) dilaporkan di Malaysia Timur.

Maklumat utama wabak Covid-19 hari ini:

  • Kes sembuh : 1,592
  • Kes aktif : 21,268
  • Pesakit di ICU: 249
  • Pesakit dengan bantuan pernafasan: 95
  • Kematian: 3 (jumlah setakat ini - 1,389)

Kematian yang dilaporkan hari ini melibatkan pesakit di Sarawak, Selangor dan Sabah. Pesakit yang meninggal dunia berusia 65 hingga 75 tahun.

Seorang korban, iaitu wanita berusia 65 tahun yang meninggal di Hospital Tawau, tidak mengidap sebarang penyakit lain.

Layari laman penjejak Covid-19 Malaysiakini bagi perincian lanjut kes kematian.

Kes di negeri

Hari ini merupakan hari ketiga berturut-turut Sarawak menjadi negeri dengan kes baru tertinggi, dengan 600 kes.

Kelantan mencatatkan 429 kes baru, iaitu angka tertinggi di negeri itu setakat ini.

Di kedua-dua negeri ini, kebanyakan kes baru dikesan dari kluster sedia ada pengesanan kontak rapat.

Sebahagian besar Kelantan kini diletakkan di bawah perintah kawalan pergerakan (PKP). Bagaimanapun di Sarawak, perjalanan rentas daerah masih dibenarkan.

Kuala Lumpur pula mencatatkan 344 kes - angka tertinggi di wilayah persekutuan itu sejak akhir Februari. Hampir satu pertiga kes baru di Kuala Lumpur dikesan menerusi "lain-lain saringan", bermaksud kes tidak berkaitan dengan kluster sedia ada atau bukan kontak rapat.

Setakat semaam, kadar R-naught bagi seluruh negara adalah pada 1.17, meningkat daripada 0.81 pada 8 Mac.

Kadar R-naught melebihi 1 menunjukkan penularan yang meningkat. Kawasan yang mencatatkan kadar kurang daripada 1 adalah Pulau Pinang, Labuan, Putrajaya, Pahang, Perak dan Perlis.

7 Kluster baru

Dalam pada itu, KKM memaklumkan terdapat tujuh lagi kluster baru yang dikenal pasti hari ini.

Empat kluster baru dalam kategori komuniti dan masing-masing satu kluster bagi kategori pendidikan, sekolah/institusi pendidikan KPM dan tempat kerja.

Sebanyak tujuh lagi kluster yang diisytihar tamat hari ini, menjadikan jumlah kluster aktif pada masa ini kepada 340 kluster.


Dapatkan maklumat terkini dan perincian berkenaan penularan Covid-19 di Malaysia di laman penjejak ini.


Lihat Komen
ADS