Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Masjid, surau di seluruh Kelantan diarah tutup
Diterbitkan:  Apr 20, 2021 8:44 PM
Dikemaskini: 3:30 PM

Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (Maik) mengarahkan penutupan seluruh masjid mukim, surau dan musolla di Kelantan.

Arahan itu merangkumi larangan aktiviti termasuk solat Jumaat, fardu, solat sunat tarawih dan aktiviti-aktiviti lain bermula esok sehingga suatu tarikh yang akan dimaklumkan kelak.

Pun begitu, Maik hanya membenarkan solat Jumaat, fardu dan solat sunat tarawih di masjid negeri, bandar dan jajahan sahaja.

Yang Dipertua Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (Maik) Tengku Temenggong Kelantan, Tengku Mohamad Rizam Tengku Abdul Aziz, berkata pelaksanaan akan dilakukan mengikut prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan.

“Pelaksanaan solat Jumaat, solat fardu dan solat sunat tarawih di masjid negeri, bandar dan jajahan adalah dibenarkan 50 peratus daripada kapasiti masjid selepas penjarakan.

“Manakala aktiviti-aktiviti lain termasuk tazkirah, tadarus al-Quran, iktikaf dan lain-lain adalah tidak dibenarkan. Para Jemaah hendaklah berada dalam saf dengan penjarakan dua meter,” katanya dalam kenyataan media di Kota Bharu, hari ini.

Tambah Tengku Mohamad Rizam arahan penutupan ini mendapat perkenan Sultan Muhammad V sebagai Ketua Agama Islam sebagaimana peruntukkan Perkara 6 (1) Undang-undang Perlembagaan Tubuh Kerajaan Kelantan agar solat Jumaat, fardu, solat sunat tarawih dan aktiviti di masjid, surau dan musalla hanya dibenarkan di masjid negeri, bandar dan jajahan mengikut SOP bagi membendung penularan wabak Covid-19 di negeri ini.

Maik katanya amat mengharapkan kerjasama daripada semua pihak dalam melaksanakan ketetapan itu.

“SOP hendaklah dipatuhi sepenuhnya oleh pihak pengurusan masjid atau surau atau musolla. Tindakan sewajarnya akan diambil di atas kegagalan untuk mematuhi SOP ini.

“Bersama-samalah kita istiqamah dan yakin bahawa Allah SWT pasti membantu dan memperkenankan doa serta harapan kita semua,” katanya.


Dapatkan maklumat terkini dan perincian berkenaan penularan Covid-19 di Malaysia di laman penjejak ini.

 

Lihat Komen
ADS