Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
KKM akan ganti ventilator tak berfungsi yang dihantar ke Sarawak
Diterbitkan:  Apr 20, 2021 9:15 PM
Dikemaskini: 1:15 PM

Kementerian Kesihatan (KKM) akan menghantar ventilator baru ke hospital di Sarawak, bagi menggantikan ventilator yang dihantar minggu lalu yang didapati tidak berfungsi dengan baik.

KKM berkata, sepuluh ventilator yang dihantar ke negeri itu pada 13 April dalam keadaan baik ketika diuji di Hospital Sungai Buloh.

Justeru, KKM berkata kerosakan mungkin berlaku ketika proses pengangkutan peralatan tersebut.

"Setelah meneliti sepenuhnya dakwaan mengenai penerimaan bantuan ventilator yang gagal berfungsi, KKM mendapati terdapat kerosakan berlaku mungkin berpunca daripada proses pengangkutan peralatan tersebut ke fasiliti yang telah ditetapkan.

"Perkara ini juga berkemungkinan kerana sensor oksigen dan papan litar utama yang sangat sensitif terhadap getaran, suhu dan kelembapan semasa pengangkutan.

"Sebagai tambahan, KKM juga telah menghantar 8 ventilator baru berjenama Weinmenn serta 8 unit pemantau pesakit ICU ke Hospital Sarikei. Tiga daripada unit tersebut telah diuji dan sedang diguanakn sehingga kini, manakala lima unit lagi akan diuji dan ditauliahkan minggu ini," katanya dalam kenyataan.

Selain itu, KKM juga berkata akan menghantar tambahan 11 unit ventilator baru jenama Sternmed dan Weinmenn ke Sarawak, dengan lima daripadanya untuk Hospital Sibu, dua untuk Hospital Sarikei, dan empat untuk Hospital Bintulu.

Terdahulu, Adun Bukit Assek mary Chang Oi Ling mempersoalkan kerajaan kerana menghantar ventilator yang tidak berfungsi.

Pada minggu lalu, sepuluh ventilator dihantar ke Sarawak sempena kunjungan Menteri Kesihatan Dr Adham Baba ke sana, dan kemudian diagihkan kepada Hospital Sibu (lima unit), Hospital Bintulu (tiga unit) dan Hospital Sarikei (dua unit).

Chang turut mengkritik KKM kerana menghantar ventilator yang tidak mempunyai pemampat udara dalaman kerana ia akan memerlukan hospital memasang sendiri pemampat untuk dihubungkan kepada peralatan itu.

Berhubung perkara itu, KKM berkata sepuluh ventilator tersebut, yang berjenama Draeger Evita 4, adalah untuk kegunaan di ICU saja dan bukan wad biasa yang memerlukan ventilator besertakan pemampat udara dalaman.

Lihat Komen
ADS