Kerajaan tidak membenarkan lagi perbincangan antara agama secara terbuka yang dikendalikan oleh pertubuhan bukan kerajaan (NGO), kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Dr Maximus Johnity Ongkili.

Sebarang dialog atau perbincangan antara agama pada masa depan akan hanya diadakan di bawah kendalian Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional dengan kerjasama Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) dan Institut Kefahaman Islam Malaysia (Ikim).

"Langkah ini bagi memelihara perpaduan," katanya pada majlis makan malam sempena mesyuarat Panel Penasihat Perpaduan Negara dan Intergrasi Nasional di Tasik Kenyir, Terengganu.

"Tetapi ini tidak bermakna seolah-olah kerajaan tidak membenarkan dialog antara agama diadakan. Ia mengamalkan atau menggalakkan perbincangan mengenai agama, tetapi bukan dalam bentuk terbuka dengan tidak terkawal di mana program serta penyertaan itu tidak diteliti," tambahnya.

Langkah ini diambil ekoran bantahan kumpulan tertentu terhadap siri dialog berkaitan kedudukan agama Islam dalam perlembagaan yang dianjurkan oleh kumpulan Artikel 11 beberapa bulan lalu.

Dialog tersebut telah mencetuskan kebimbangan di kalangan umat Islam kerana dianggap mencampuri urusan agama Islam dan cuba menggugat kedudukan Islam sebagai agama rasmi negara ini.

Mengenai panel penasihat perpaduan negara itu pula, Dr Ongkili berkata panel yang dilantik setiap dua tahun itu telah memainkan peranan penting memberi input perubahan dan program baru bagi dilaksanakan.

Menurut laporan Bernama, hasil dari nasihat dan saranan panel tersebut, Rukun Tetangga dan program perpaduan yang berkaitan dengan hubungan kaum dan intergrasi wilayah telah diaktifkan semula sekarang.

"Dalam masa dua tahun ini, sebanyak lima kali mesyuarat diadakan iaitu matlamat kita (kerajaan) dahulu tidak kurang daripada dua kali setahun dan nampaknya hasrat itu telah tercapai," katanya.

Beliau berkata mesyuarat selama dua hari itu antara lain akan membincangkan program atau modul khusus yang bakal dikendalikan Institut Kajian dan Latihan Intergrasi Nasional (Iklim), yang diharapkan menjadi pusat pendidikan umum menyediakan kursus kepimpinan pengurusan kepada Rukun Tetangga.

Dr Ongkili berkata sehingga ini terdapat kira-kira 80,000 anggota Rukun Tetangga daripada 3,272 cawangan di seluruh negara.