Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Periksa pelajar haid: Teo gesa menteri, 2 timbalan menteri beri penjelasan
Diterbitkan:  Apr 22, 2021 1:48 PM
Dikemaskini: 5:49 AM

Bekas timbalan menteri pendidikan Teo Nie Ching menggesa Menteri Pendidikan Radzi Md Jidin dan dua timbalannya untuk bertindak susulan laporan berhubung amalan memeriksa pelajar perempuan yang datang bulan, terutama di sekolah berasrama penuh.

Teo berkata, tiada garis panduan yang membolehkan guru berbuat demikian.

"Mutakhir ini, negara dikejutkan dengan isu buli dan gangguan seksual yang berlaku dalam institusi pendidikan kita - atas nama spot check haid.

"Sepanjang pengetahuan saya, tiada garis panduan yang membolehkan cikgu melakukannya. Jadi mengapa ia berlaku?" soalnya dalam kenyataan hari ini.

Katanya, amat mengejutkan apabila setakat ini Kementerian Pendidikan (KPM) belum mengeluarkan kenyataan berhubung perkara itu.

"Dan apa yang mengejutkan kita adalah seorang menteri kanan dengan dua timbalan (Muslimin Yahaya dan Mah Hang Soon), semuanya lelaki, seperti tidak sensitif dan tidak peduli dengan hal yang menakutkan ini," katanya lagi.

Hari ini, Malaysiakini melaporkan amalan pemeriksaan terhadap pelajar perempuan di sejumlah sekolah, di mana mereka diarahkan untuk membuktikan secara fizikal bahawa mereka mengalami haid.


BacaPelajar perempuan dimalukan, diraba untuk periksa datang bulan


Menurut mereka, pemeriksaan dibuat oleh guru, warden atau pengawas dan mereka antaranya diminta menunjukkan kesan darah pada tuala wanita atau melakukan calitan pada kemaluan dengan kapas, tisu atau jari, untuk membuktikan mereka tidak boleh menyertai sembahyang jemaah.

Ia menurut pelajar pada masa ini mahupun yang telah tamat persekolahan 20 tahun lalu, yang menceritakan pengalaman mereka yang disifatkan sebagai "memalukan".

Kata Teo lagi, KPM perlu memberi maklum balas segera berhubung perkara ini.

"Mufti Pulau Pinang juga telah bersuara. Jadi apa pendirian KPM? Bilakah menteri dan timbalannya akhirnya akan bersuara untuk melindungi pelajar kita, terutama pelajar perempuan?" soalnya lagi.

Mufti Pulau Pinang Wan Salim Wan Mohd Noor (gambar) berkata sesiapa pun tidak wajar memalukan seseorang dengan memeriksa bahagian sulit meskipun dengan apa-apa alasan.

Katanya, setiap orang mempunyai maruah diri yang wajib dihormati oleh orang lain, termasuklah hak menutup bahagian-bahagian sulit tubuh mereka daripada dilihat oleh orang lain.

“Islam melarang keras umatnya melihat aurat orang lain walaupun dengan alasan untuk melaksanakan kewajipan yang dituntut seperti untuk menghalang seorang pelajar perempuan daripada berdalih untuk meninggalkan kewajipan solat,” katanya ketika dihubungi Malaysiakini berhubung perkara ini.

Pakar obstetrik dan ginekologi dan Pendidikan Perubatan (Pengajaran Klinikal) dari Fakulti Perubatan, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM, Dr Harlina Halizah Siraj berkata tindakan sedemikian mengganggu privasi wanita.

"Sebagai pakar obstetrik dan pakar sakit puan, saya percaya seorang perempuan muda tidak harus membuktikan yang dia mengalaminya (kedatangan haid)," katanya.

Dalam pada itu, Teo berkata sekolah sepatutnya menjadi tempat selamat untuk mendidik pelajar dan menyemai nilai kasih sayang dan kemanusiaan.

"Tetapi kita memalukan anak-anak kita kerana ironinya kita tidak meletakkan kepercayaan kepada mereka di dalam sekolah. Anak-anak kita perlukan pimpinan dan panduan, bukan untuk sentiasa diragui oleh kita.

"Pimpinan dan panduan tidak bermaksud pergelutan untuk membuktikan kita betul dan menolak pandangan mereka. Ia tidak bermaksud mengaibkan atau melampau sempadan - membuatkan mereka rasa malu," katanya lagi.

Lihat Komen
ADS