Pihak berkuasa guna taktik baru tekan keluarga mangsa ISA
Pihak berkuasa kini menggunakan satu taktik baru untuk menghalang keluarga orang tahanan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) daripada menyertai gerakan kempen hapuskan ISA (AIM).
Pihak berkuasa kini menggunakan satu taktik baru untuk menghalang keluarga orang tahanan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) daripada menyertai gerakan kempen hapuskan ISA (AIM).
Isteri seorang orang tahanan berkenaan, Norlaila Othman mendakwa dia telah "dinasihatkan" oleh keluarga seorang tahanan yang baru dibebaskan supaya berhenti menyertai aktiviti AIM jika mahu suaminya dibebaskan segera.
" Anggota keluarga orang tahanan yang baru dibebaskan itu memberitahu saya yang seorang pegawai polis di Bukit Aman telah memintanya memberitahu isteri-isteri orang tahanan ISA yang lain supaya tidak menghadiri aktiviti AIM jika mahu suami mereka dibebaskan lebih awal," katanya ketika dihubungi hari ini.
Suami Norlaila, Mat Sah Mohd Satray ditahan di bawah ISA sejak 2002 kerana dikatakan terbabit dengan kegiatan pengganas. Pasangan ini mempunyai seorang anak berusia 13 tahun.
"Selama ini kami diganggu dengan pelbagai cara, pergerakan kami sentiasa diawasi dan ditelefon berulang-ulang kali. Ini kali pertama taktik menggunakan keluarga orang tahanan untuk menekan kami digunakan ," ujarnya.
Norlaila juga menyatakan, suaminya sendiri ketika ditemui di kem tahanan Kamunting, Taiping bulan lalu telah menyampai mesej yang sama kepadanya.
"Suami saya memberitahu saya sekarang orang tahanan dikerah menyanyi lagu Negaraku setiap pagi dan diminta menasihatkan isteri masing-masing jangan membabitkan diri dengan program AIM jika mahu suami masing-masing dibebaskan lebih awal," tambahnya.
Ketidakpuasan hati Norlaila terhadap taktik baru pihak berkuasa itu telah disampaikan kepada Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam) dalam satu memorandam Rabu lalu.
AIM adalah gabungan 83 pertubuhan dan individu yang terdiri daripada kumpulan-kumpulan masyarakat sivil, parti pembangkang, kesatuan sekerja dan badan-badan bukan kerajaan (NGO).
Setiausaha AIM, Chang Lih Kang turut membidas taktik baru pihak berkuasa terhadap keluarga orang tahanan itu.

