Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Muda fail semakan kehakiman ke atas Hamzah, ROS
Diterbitkan:  Apr 26, 2021 10:17 PM
Dikemaskini: 2:17 PM

Parti Ikatan Demokratik Malaysia (Muda) akan memfailkan permohonan semakan kehakiman berhubung kegagalan parti itu untuk daftarkan sebagai sebuah parti politik.

Semakan kehakiman oleh 13 penaja Muda itu dibuat terhadap Menteri Dalam Negeri, Hamzah Zainudin dan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (ROS) atas kegagalan dan kelewatan membuat keputusan berhubung rayuan mereka.

Semakan kehakiman itu dibuat di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini.

Setelah ROS bertindak menolak pendaftarannya pada 6 Jan lalu, Muda pada 4 Feb memfailkan rayuan kepada menteri dalam negeri selaras dengan Seksyen 18 Akta Pertubuhan 1966.

Namun setelah 81 hari berlalu sejak rayuan difailkan, menteri dalam negeri masih belum membuat sebarang keputusan.

"Malah, Muda difahamkan menteri dalam negeri dan/atau ROS masih menunggu 'ulasan tapisan keselamatan' terhadap beberapa penaja Muda.

"Kegagalan menteri dalam negeri dalam membuat sebarang keputusan berkenaan rayuan Muda adalah tidak munasabah, tidak rasional dan salah di sisi undang-undang.

"Ini jelas hanya suatu lagi taktik kerajaan Perikatan Nasional (PN) untuk menghalang parti politik pembangkang daripada didaftarkan.

"Muda berharap mahkamah akan mencapai keputusan yang seadilnya, dan menjunjung hak berpersatuan di Malaysia seperti termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan," kata Naib Presiden Muda, Lim Wei Jiet dalam kenyataan hari ini.

Lim yang juga peguam yang bertauliah menambah pasukan undang-undang Muda akan mengadakan sidang media mengenai isu tersebut di luar Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada jam 1 tengah hari esok.

Muda dipelopori oleh bekas menteri belia dan sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman.

Syed Saddiq pernah menjadi ketua Pemuda Bersatu sebelum dia ditendang keluar dari parti itu. Muda ditubuhkan untuk menjadi platform politik berbilang kaum yang berpusatkan kepada belia.

Difahamkan antara alasan menyebabkan Muda gagal didaftarkan ekoran dakwaan Syed Saddiq bahawa Hamzah memintanya untuk menyokong Perdana Menteri Muhyiddin Yassin.

Pada 6 Januari, ROS juga turut menolak permohonan pendaftaran parti Pejuang Tanah Air (Pejuang), sebuah pertubuhan dipelopori oleh mantan perdana menteri Dr Mahathir Mohamad.

Pejuang juga baru-baru ini telah ke mahkamah untuk kali kedua bagi memaksa ROS untuk menerima pendaftaran mereka sebagai parti politik. 

Sebelum ini, Pejuang telah mengheret ROS ke mahkamah ekoran kelewatan mereka membuat keputusan mengenai permohonan kumpulan itu untuk didaftarkan sebagai sebuah pertubuhan politik.

Namun, kumpulan itu menarik tindakan undang-undang tersebut setelah ROS mengumumkan keputusannya pada 6 Januari untuk menolak permohonan pendaftaran Pejuang. 

Lihat Komen
ADS