Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Pejuang mahu IGP kekal, tolak 'campur tangan politik' dalam polis
Diterbitkan:  Apr 27, 2021 3:36 PM
Dikemaskini: 7:36 AM

Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) menggesa agar khidmat Ketua Polis Negara Abdul Hamid Bador yang bakal berakhir bulan depan dilanjutkan, demi menjaga integriti Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Gesaan itu di tengah-tengah dakwaan kerajaan cuba mempengaruhi pelantikan jawatan dalam pasukan polis.

Biro perundangan parti itu, Peguam Pejuang membangkitkan rakaman audio yang dikatakan mirip suara seorang menteri yang berbincang untuk meletakkan "orangnya" dalam pasukan polis.

“Setakat ini masih belum diputuskan kesahihan rakaman audio tersebut tetapi mengambil kira keluhan-keluhan pegawai tertinggi PDRM seperti dinyatakan sebelum ini, keadaan membimbangkan ini masih belum selesai,” kata Peguam Pejuang dalam kenyataan hari ini.

Pada 10 April lalu, Abdul Hamid berkata dia akan bertemu dengan Menteri Dalam Negeri Hamzah Zainudin untuk meneruskan semula pelaksanaan pertukaran pegawai kanan polis yang ditangguhkan sebelum itu.

Sehari sebelumnya, satu hantaran Facebook mengaitkan penangguhan itu dengan penglibatan Hamzah dalam soal itu, menjadi tular.

Bagaimanapun, Hamzah menafikan ada campur tangan dalam soal pertukaran pegawai kanan polis.

Katanya, sebarang urusan pertukaran pegawai kanan polis adalah keputusan daripada Suruhanjaya Perkhidmatan Polis (SPP).

Malaysiakini telah cuba untuk mendapatkan maklum balas daripada Hamzah berhubung rakaman tersebut. Seorang pegawainya berkata perkara tersebut sedang diteliti.

Merujuk kepada Seksyen 15 Akta Polis 1967 (Akta 344), Peguam Pejuang berkata ia tidak membenarkan pegawai polis bersara atau letak jawatan ketika penguatkuasaan darurat.

“Tafsiran pegawai polis ini merangkumi keseluruhan anggota pasukan keselamatan tersebut melainkan dengan syor ketua polis negara sendiri.

“Malah jawatan ketua polis negara juga mesti dilindungi apabila kerajaan ini sendiri yang memilih darurat buat masa ini,” katanya lagi.

Pada masa sama, Peguam Pejuang berkata campur tangan politik tidak boleh wujud dalam PDRM dan ahli politik tidak boleh menghalang peranan dan tugas ketua polis negara.

“Peruntukan tersebut jelas memerlukan khidmat KPN serta mana-mana anggota polis untuk diteruskan, tambahan dengan isu kartel dalaman yang mengancam gerak kerja pasukan polis,” katanya lagi.

Sebelum ini, Abdul Hamid mendakwa wujud kartel dalam pasukan polis, yang antara lain berusaha menjatuhkannya dan mendominasi polis.

Walaupun tidak menjelaskan secara terperinci, dia berkata usaha itu agar memudahkan mereka melakukan "kerja-kerja kotor".

Bulan lalu, dia juga mendedahkan bahawa seramai 34 pegawai dan anggota penguatkuasa terlibat dalam geng Nicky, dan menggelar mereka sebagai "pengkhianat".

Lihat Komen
ADS