mk-logo
Berita
Polis panggil MP, aktivis berhubung perhimpunan solidariti Fahmi Reza

Polis Dang Wangi memanggil Ahli Parlimen Lembah Pantai, Fahmi Fadzil, aktivis Suaram Sevan Doraisamy dan bekas aktivis pelajar Wong Yan Ke untuk disoal siasat.

Ketiga-tiga individu berkenaan adalah antara mereka yang berkumpul di luar ibu pejabat polis daerah Dang Wangi pada Sabtu lalu (24 April) sebagai solidariti terhadap pereka grafik, Fahmi Reza yang ditahan semalaman.

Menurut Wong, polis menghubunginya petang semalam dan mengatakan mereka disiasat di bawah Akta Perhimpunan Aman 2012.

"Dia (pegawai itu) kata dia mempunyai senarai peserta yang akan dipanggil untuk disiasat," katanya kepada Malaysiakini.

Ketika dihubungi, Fahmi Fadzil berkata dia akan memberikan kerjasama terhadap siasatan polis.

"Ya, polis menghubungi pejabat saya, minta saya ke Dang Wangi untuk merakam kenyataan mengenai kehadiran saya di luar ibu pejabat polis daerah Dang Wangi pada hari Fahmi Reza dibebaskan dari tahanan reman.

"Saya tidak diberi lebih banyak maklumat selain itu," tambahnya.

Fahmi Fadzil menjelaskan dia tidak memberikan ucapan semasa perhimpunan itu.

Sevan juga mengesahkan polis menghubungi pejabatnya semalam berhubung perhimpunan solidariti untuk Fahmi Reza.

Oleh kerana dia tidak ada semasa dihubungi, pengarah eksekutif Suaram itu tidak pasti jika pihak polis ingin menyiasat mengenai kehadirannya di perhimpunan pada 24 April itu atau acara nyalaan lilin pada 23 April.

Malaysiakini telah menghubungi ketua ibu pejabat polis daerah Dang Wangi, Mohamad Zainal Abdullah untuk mendapatkan komen.

Polis menahan Fahmi Reza pada Jumaat lalu untuk menyiasat senarai lagu Spotify bertema cemburu yang memaparkan potret Raja Permaisuri Agong Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah.

Dia kemudian dibebaskan setelah ditahan semalaman.

Senarai lagu berjudul "Ini Dengki Ke?" itu merujuk kepada komen yang didakwa dibuat oleh Permaisuri Agong sebagai respons kepada netizen di Instagram.

Unit Siasatan Jenayah Terkelas (UJST) Bukit Aman menyiasat Fahmi Reza di bawah Seksyen 4 (1) Akta Hasutan 1948 dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

Penahanannya dikritik oleh NGO seperti Bersih, Pusat Kewartawanan Bebas (CIJ) dan Amnesty International Malaysia sebagai percubaan pihak berkuasa membungkam perbezaan pendapat.

Lihat Komen
ADS