Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Saifuddin Abdullah positif Covid-19
Diterbitkan:  Apr 29, 2021 2:30 PM
Dikemaskini: 7:06 AM

Menteri Komunikasi dan Multimedia Saifuddin Abdullah disahkan positif Covid-19 setelah mendapat keputusan ujian saringan pada malam tadi.

Seorang wakil dari pejabatnya memberitahu media bahawa menteri berkenaan belum menerima sebarang vaksin dan sebelum ini menunggu suntikan vaksin bersama pihak media.

Pejabatnya memaklumkan Saifuddin akan menjalani kuarantin mengikut tempoh yang ditetapkan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

"Sehubungan dengan itu, YB Datuk Saifuddin akan menjalani tempoh kuarantin mengikut saranan dan pemantauan rapi oleh pihak KKM.

"Buat masa ini, beliau sedang menjalani kuarantin di rumah sementara menunggu kemasukan ke wad di hospital," kata kenyataan tersebut.

Pejabatnya menjelaskan Saifuddin akan terus memantau dan memastikan segala urusan kementerian itu berjalan lancar sepanjang tempoh rawatan dan kuarantin.

Bagaimanapun pejabat Saifuddin tidak menjelaskan dari mana dia mendapat jangkitan itu.

Malaysiakini difahamkan Saifuddin tidak menghadiri mesyuarat kabinet semalam.

Ini merupakan kes terbaru membabitkan menteri kabinet.

Setakat semalam sebanyak 26, 719 kes aktif Covid-19 dilaporkan di seluruh negara.

Kemunculan terakhir Saifuddin di khalayak ramai adalah di Kuantan, Pahang pada 24 April.

Pada hari itu dia menghadiri dua acara - satu untuk menyampaikan bantuan kepada kumpulan orang kurang upaya, dan yang kedua menghadiri acara Finas yang melibatkan 116 peserta.

 

Lihat Komen
ADS