Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
22 bazar Ramadan diarah tutup berkuat kuasa esok
Diterbitkan:  Apr 30, 2021 4:36 PM
Dikemaskini: 2:25 PM

Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) telah mengarahkan sejumlah 22 bazar ramadan di bawah kendalian pihak berkuasa tempatan (PBT) di enam negeri dan satu wilayah persekutuan ditutup berkuatkuasa esok.

Perkara itu dinyatakan dalam surat yang diedarkan kepada PBT berkaitan yang ditandatangani ketua setiausaha KPKT Zainal Abidin Abu Hassan bertarikh hari ini.

Menurut surat itu, perkara itu diputuskan dalam sidang khas Majlis Keselamatan Negara (MKN) pada dua hari lalu.

"KPKT telah menerima laporan daripada Hide (Hotspot Identification by Dynamic Engagement), Bank Negara yang telah mengesan ancaman penyebaran jangkitan Covid-19 di kawasan bazar Ramadan seperti yang dilampirkan.

"Ancaman penyebaran ini adalah hasil analisis pengesanan kontak yang dilaksanakan oleh pihak Kementerian Kesihatan melalui aplikasi MySejahtera.

"Sehubungan itu, kerjasama diperlukan untuk menutup operasi bazar Ramadan berkuat kuasa pada 1 Mei 2021 bagi membendung dan mengawal jangkitan serta peningkata kes Covid-19," menurut surat itu.

Bazar Ramadan yang diarahkan tutup adalah seperti berikut:

Johor: Belatuk Taman Scientex, Pasir Gudang; Kg Pasir, Jalan Mata Kuching, Johor Bahru; @Mart Kempas, Johor Bahru; Lok Heng, Kota Tinggi.

Kedah: Taman Selasih, Kulim; Baling 2021, Baling; Kupang 2021, Baling.

Pahang: Lurah Semantan, Temerloh; Temerloh Jaya, Temerloh.

Perak: Bazar Nenas Kg Selabak, Teluk Intan.

Pulau Pinang: MPKK Jalan Tenggiri, Seberang Perai; Attakwa Taman Bertam Indah, Seberang Perai; Bazar Ramadhan MBPP/MBSP; Kampung Melayu; Masjid Daerah Barat Daya; Iftar Ramadhan Jalan Berangan Bkt Bntng 2021; Bukit Gedung; Taman Tun Sardon.

Selangor: Pusat Sementara Penjaja/Basar Ramadhan Puncak Jalil, Subang Jaya; Stesen LRT Cempaka, Ampang Jaya.

Kuala Lumpur: Taman Setiawangsa; Jalan Raja Alang.

Dalam kenyataan media yang dikeluarkan kemudian, KPKT menjelaskan penutupan berkuat kuasa tiga hari mulai esok, bagi tujuan sanitasi dan memperkemas prosedur arahan standard (SOP) di bazar tersebut.

"Sehingga 15 April 2021, sebanyak 904 kes positif Covid-19 yang dilaporkan mempunyai sejarah kunjungan atau dijangkiti oleh individu yang pernah mengunjungi bazar Ramadan tersebut.

"Sehubungan itu, semua Pihak Berkuasa Negeri (PBN) dan PBT disarankan untuk mengetatkan penguatkuasaan pematuhan SOP di Bazar Ramadan bagi mengekang penularan wabak Covid-19. Peniaga dan pengunjung juga dinasihatkan agar sentiasa mematuhi SOP yang telah ditetapkan bagi mengelakkan peningkatan kes," kata KPKT dalam kenyataan hari ini.

Sementara itu, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dalam kenyataan menjelaskan penutupan bazar Ramadan Taman Setiawangsa dan Jalan Raja Alang - yang tersenarai dalam surat KPKT - hanya untuk dua hari, iaitu Sabtu dan Ahad ini (1 dan 5 Mei).

Arahan itu susulan kes Covid-19 yang terus meningkat mutakhir ini, dengan hari ini mencatatkan 3,788 kes baru.

Kadar kebolehkangkitan R-nought (Rt) seluruh negara semalam adalah 1.2, yang menandakan wabak itu kian menular dengan pantas. Kali terakhir kadar Rt bawah 1.00 adlaah pada 7 April lalu.

Di peringkat negeri, kadar Rt di negeri dan wilayah persekutuan yang terkesan dengan arahan penutupan ini adalah seperti berikut: Kuala Lumpur (1.23), Selangor (1.19), Kedah (1.22), Pahang (1.20), Johor (1.14), Perak (1.08), dan Pulau Pinang (1.01).

Kelantan - negeri dengan Rt tertinggi iaitu 1.24 - telah pun memutuskan yang bazar Ramadan tidak akan diadakan pada tahun ini.

Lihat Komen
ADS