Malaysiakini
SENI & HIBURAN

Penceramah hadir kerana kebetulan ada di KL, menteri cuma singgah - Siti Nurhaliza

Diterbitkan
Dikemaskini 3 Mei 2021, 9:54 pagi

Selepas mengundang kemarahan orang ramai, Siti Nurhaliza Tarudin hari ini tampil menjelaskan apa yang berlaku di sebalik majlis mentahnik anak keduanya baru-baru ini.

Kata penyanyi tersohor itu tidak berlaku kesalahan melanggar prosedur operasi standard (SOP) apabila dia dan suami - Khalid Mohamad Jiwa - mengundang orang kenamaan dan personaliti terkenal ke majlis berkenaan.

Mengenai kehadiran penceramah itu, Siti Nurhaliza berkata, personaliti berkenaan cuma secara kebetulan berada di Kuala Lumpur pada hari majlis itu berlangsung 26 April lalu.

“Di sini kami ingin memaklumkan tiada sebarang aktiviti rentas negeri berlaku. Sebaliknya individu itu bersetuju untuk hadir kerana kebetulan dia memang berada di Kuala Lumpur pada tarikh majlis itu diadakan,” katanya dalam satu kenyataan.

Bagaimanapun tidak dapat dipastikan siapakah individu yang dimaksudkan oleh penyanyi Siapa Tak Mahu itu.

Berdasarkan gambar yang tular atau dimuat naik di media sosial sebelum ini, majlis tersebut dihadiri penceramah berasal dari Terengganu, Azhar Idrus, dan Don Daniyal Don Biyajid.

Turut memeriahkan majlis ialah Menteri di Jabatan Perdana Menteri Zulkifli Mohamad.

Siti Nurhaliza, 42, menegaskan atur cara majlis dan bilangan tetamu yang hadir adalah mematuhi syarat penganjuran majlis sosial yang ditetapkan kerajaan dalam tempoh perintah kawalan pergerakan bersyarat (PKPB).

Bergegas lepas baca doa

Katanya lagi penjelasan itu dibuat bukanlah untuk mempertahankan diri tetapi bertujuan memberi pencerahan terhadap beberapa perkara yang boleh menimbulkan kekeliruan dan salah faham terhadap pihak tertentu.

“Majlis juga terbahagi kepada tiga sesi dengan bilangan tetamu terhad, dihadiri keluarga terdekat serta kumpulan Mawlid untuk mengambil keberkatan fadhilat sunat mengadakan tahnik dan memberi nama kepada anak pada hari ketujuh mengikut sunnah Rasulullah,” katanya.

Terdahulu, dunia maya terus bergelora apabila netizen sekali lagi menyuarakan rasa kurang senang apabila mendakwa majlis diadakan Siti Nurhaliza itu melanggar SOP.

Sebelum ini pula, tular imej Siti Nurhaliza menerima kunjungan ramai tetamu di hospital selepas melahirkan anak kedua itu pada 19 April lalu.

Penyanyi Kuasa Cintamu itu pada masa sama menjelaskan kehadiran Zulkifli bukanlah untuk majlis khas seperti didakwa sebaliknya bekas mufti terbabit sekadar "singgah" saja.

“Mengenai acara tahnik sebelah siang yang dihadiri Menteri Agama, ia bukanlah majlis khas seperti yang disangka.

"Sebaliknya dia hanya singgah untuk menyempurnakan bacaan doa dan tahnik saja sebelum terpaksa bergegas pulang untuk urusan lain.

“Sebagai rakyat Malaysia yang patuh pada undang-undang dan peka dengan situasi semasa, kami tidak pernah memandang ringan mengenai hal ini dan selagi berada dalam kawalan, kami cuba untuk mematuhinya semampu mungkin,” katanya.

Siti Nurhaliza juga memohon maaf jika majlis diadakannya itu mengundang rasa kurang senang mana-mana pihak.

“Kami memahami, berlapang dada dengan setiap teguran yang diberikan. 

"Kami juga bersedia untuk memberi sepenuh kerjasama kepada pihak berkuasa jika diperlukan.

“Ini merupakan kenyataan terakhir daripada kami mengenai isu ini dan berharap agar perkara ini dapat diselesaikan dan difahami dengan baik,” katanya.

Sementara itu, Ibu Pejabat Polis Daerah Ampang Jaya memaklumkan mereka menerima satu laporan polis berkaitan isu berkenaan.

Ketua Polis Daerah Ampang Jaya ACP Mohamad Farouk Esha berkata siasatan dijalankan mengikut Peraturan 19 Peraturan-peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 2021.

Katanya polis juga sudah mengenal pasti pihak penganjur majlis tersebut dan mereka dipanggil untuk hadir memberikan keterangan kepada polis.

“Polis dengan ini menasihatkan agar orang ramai sentiasa sensitif dan mengutamakan SOP dalam sebarang aktiviti yang dijalankan.

"Polis juga meminta orang ramai agar tidak membuat sebarang spekulasi kerana kes masih lagi dalam peringkat siasatan,” katanya.

Beri pendapat anda!

Jadi pelanggan Malaysiakini untuk menjadi pengulas berita. Anda dapat mengakses kandungan semua bahasa dan menulis komen di semua platform Malaysiakini.

Bersatu sokong media bebas.