Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
story images
story images
mk-logo
Berita
Didakwa pukul warga asing, polis siasat Yusuf Azmi dan pengikut

Polis sedang mengesan sekumpulan lelaki yang didakwa memukul seorang lelaki warga asing dalam kejadian di kawasan kaki lima Jalan Alam Jaya 19, Taman Alam Jaya, Batu 9 Cheras, Kajang, yang tular di media sosial semalam.

Ketua Polis Daerah Kajang ACP Mohd Zaid Hassan berkata kejadian itu dipercayai berlaku pada kira-kira 2.30 petang dan dirakam dalam sebuah video yang berdurasi selama seminit 21 saat.

Katanya, sepasukan polis dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kajang telah melihat video yang tular ini dan melakukan siasatan ekoran dipercayai tempat kejadian merupakan kawasan di bawah pentadbiran IPD Kajang.

“Hasil siasatan awal yang dijalankan mendapati kejadian yang tular ini melibatkan mangsa seorang lelaki dipercayai warga asing yang dipukul sekumpulan lelaki tempatan dikenali dengan nama Yusuf Azmi, Abang Ali dan beberapa orang pengikutnya yang belum dikenal pasti.

“Kejadian yang tular ini jelas merupakan satu kekerasan jenayah yang boleh disiasat di bawah Seksyen 147 Kanun Keseksaan dan ia mengganggu-gugat serta mendatangkan kekacauan terhadap ketenteraman awam kerana berlaku di kawasan awam yang terbuka,” katanya dalam kenyataan di Kuala Lumpur, malam tadi.

Beliau berkata, penelitian ke atas video itu juga mendapati, kumpulan lelaki tempatan berkenaan telah melanggar beberapa prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) dengan berkumpul serta tidak menjaga penjarakan fizikal.

“Berdasarkan video yang tular ini, kes telah diklasifikasi di bawah Seksyen 147 Kanun Keseksaan. Jika disabitkan kesalahan, bolehlah dihukum penjara dua tahun atau dikenakan denda ataupun kedua-duanya sekali,” katanya.

Beliau menambah, bagi kesalahan melanggar SOP PKPB, kes disiasat di bawah Seksyen 269 Kanun Keseksaan dan Seskyen 22(b) Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988.

Mohd Zaid berkata mana-mana individu yang mempunyai maklumat lanjut berhubung kejadian ini boleh berhubung dengan mana-mana balai polis terdekat atau berhubung terus dengan pegawai penyiasat kes, ASP Mohd Radzee Jamudi, di talian 019-665 5811.

- Bernama

Lihat Komen
ADS