mk-logo
Berita
Lompat parti: SPRM siasat jika ada unsur tawaran wang
Diterbitkan:  May 4, 2021 4:34 PM
Dikemaskini: 8:40 AM

Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) hanya bertindak menyiasat ahli politik yang melompat parti, jika terdapat bukti adanya unsur penawaran wang.

Ketua Pesuruhjaya SPRM Datuk Seri Azam Baki berkata, sebaliknya mana-mana ahli parti politik mempunyai kebebasan melompat parti, kerana tiada undang-undang boleh digunakan atas perkara terbabit.

“Tidak ada lagi undang-undang melarang mana-mana pihak untuk pergi ke parti lain… ‘anti-hopping law’ ini tidak wujud.

“Ini juga bukan satu kesalahan. Yang SPRM siasat adalah ke atas sebarang bukti penawaran wang berlaku seperti semasa meraih sokongan,” katanya ditemui pemberita pada program kerjasama strategik Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara bersama SPRM di Kuala Lumpur hari ini.

Pada 30 April lalu, bekas Ketua Polis Negara Tan Sri Abdul Hamid Bador, meminta supaya suruhanjaya itu menyiasat dakwaan unsur penglibatan rasuah berkaitan ahli politik yang melompat parti.

Mengulas mengenai gesaan Abdul Hamid untuk melakukan siasatan berhubung campur tangan ke atas Suruhanjaya Pasukan Polis Azam berkata, perkara itu di luar bidang kuasa SPRM.

“Hal ini melibatkan isu dalaman pasukan keselamatan terbabit, jadi maka biarlah polis sendiri selesaikan,” katanya.

Azam merujuk kepada dakwaan Abdul Hamid bahawa ada individu politik atau menteri telah mencampuri urusan dalaman PDRM.

Antara dakwaan dibuat Abdul Hamid ialah, cubaan mereka mengatur pelantikan pegawai-pegawai kanan dalam pasukan keselamatan terbabit.

- Bernama

Lihat Komen
ADS