Samy Vellu akan dedahkan senarai 21 sekolah Tamil
Menteri Kerja Raya, Datuk Seri S. Samy Vellu berkata beliau akan mendedahkan senarai sekolah rendah Tamil yang baru dibina oleh kerajaan tahun lalu tidak lama lagi.
Menteri Kerja Raya, Datuk Seri S. Samy Vellu berkata beliau akan mendedahkan senarai sekolah rendah Tamil yang baru dibina oleh kerajaan tahun lalu tidak lama lagi.
Bagaimanapun katanya, senarai itu akan hanya diserahkan kepada media dalam dua tiga hari ini tetapi tidak akan diberikan kepada Ketua Pembangkang, Lim Kit Siang.
Semalam Lim dalam satu kenyataan menuntut senarai itu didedahkan kerana beliau mempertikaikan kebenaran kenyataan Samy sebelum itu yang mendakwa 21 buah sekolah Tamil telah dibina dalam Rancangan Malaysia Kelapan (RMK8) dan 64 buah lagi akan dinaiktaraf.
" Saya akan mengeluarkan senarai itu kepada media dalam masa dua tiga hari lagi, tetapi saya tidak akan ada memberinya kepada Lim," ujarnya kepada Bernama hari ini.
Samy Vellu berkata, Lim sengaja cuba membesarkan isu ini untuk tujuan politiknya.
"Dia mahu mendapat maklumat tambahan supaya dia boleh mempolitikkan isu ini kemudian hari. Mengapa perlu saya memberinya senarai itu...biar dia mencarinya sendiri," ujar Samy.
Samy menolak dakwaan Lim yang mengatakan tiada sekolah Tamil baru dibina sepanjang RMK8 dengan menegaskan sekolah yang dipindah lokasinya tetap dianggap sebagai sekolah baru.
"Kita mempunyai lebih 500 sekolah Tamil di seluruh negara, daripada jumlah tersebut, 100 buah sekolah perlu dibina semula. Bila kita membina semula sekolah-sekolah tersebut, ia adalah sekolah baru,"jelas Presiden MIC itu. Berita asal

