Paling Popular
Terkini

Kerajaan mengemukakan rayuan untuk membatalkan keputusan mahkamah yang memberikan kebenaran terhadap kontraktor Dhaya Maju LTAT Sdn Bhd untuk memulakan tindakan undang-undang terhadap keputusannya menamatkan kontrak projek Landasan Berkembar Lembah Klang 2 (KVDT2).

Kerajaan Malaysia dan Menteri Pengangkutan, Wee Ka Siong selaku responden dalam saman itu membuat permohonan di Mahkamah Rayuan untuk mengetepikan kebenaran yang diberikan oleh Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 14 April tahun ini.

Melalui permohonan semakan kehakiman yang dikemukakan pada 3 September tahun lalu, Dhaya Maju LTAT memohon perisytiharan mahkamah bahawa keputusan menteri untuk membatalkan kontrak KVDT2 dan membuka semula tender sebagai batal dan tidak sah.

Peguam kanan persekutuan Ahmad Hanir Hanbaly @ Arwi mengesahkan kedua-dua responden telah mengemukakan rayuan ketika dihubungi oleh media petang ini.

"Ya, kami telah mengemukakan rayuan," kata Hanir dari Jabatan Peguam Negara (AGC) sambil menambah rayuan itu dikemukakan pada 20 April lalu.

Mahkamah sebelum ini menetapkan 28 April ini untuk pengurusan kes seterusnya.

Sebelum ini, Dhaya Maju LTAT mengemukakan dua saman terhadap kerajaan dengan menyatakan bahawa penamatan kontrak KVDT2 sebagai tidak sah.

Salah satunya adalah tindakan undang-undang yang bertujuan untuk membatalkan surat yang dikeluarkan oleh kerajaan bertarikh 23 September tahun lalu untuk menamatkan kontrak projek tersebut.

Pada bulan Ogos 2020, Wee mengumumkan kerajaan akan membuka kembali tender untuk projek landasan KVDT2, dengan mendakwa bahawa siasatan mendapati kos RM4.475 bilion untuk projek itu terlalu tinggi, walaupun langkah-langkah pemotongan kos dilakukan oleh kerajaan Pakatan Harapan sebelumnya.

Projek ini mendapat perhatian selepas Menteri Kewangan, Tengku Zafrul Abdul Aziz mengeluarkan senarai 101 projek yang diberikan secara rundingan terus semasa pentadbiran Pakatan Harapan.

Bekas pengerusi Majlis Peguam, Lim Chee Wee mewakili Dhaya Maju LTAT.

Lihat Komen
ADS