Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Sukan
Menteri mahu pendekatan lebih wajar untuk sektor sukan
Diterbitkan:  May 7, 2021 1:07 PM
Dikemaskini: 5:16 AM

Menteri Belia dan Sukan Reezal Merican akan mengemukakan cadangan pendekatan lebih wajar kepada Majlis Keselamatan Negara (MKN) berhubung prosedur operasi standard (SOP) sukan dan rekreasi untuk kawasan perintah kawalan pergerakan (PKP) 3.0.

Kementerian Belia dan Sukan (KBS) mengumumkan perkara itu selepas Majlis Keselamatan Negara (MKN) memutuskan untuk menggantung sementara sektor serta aktiviti sukan dan rekreasi kawasan di bawah PKP 3.0.

“YB menteri belia dan sukan memaklumkan bahawa beliau akan mengangkat semula beberapa cadangan KBS berhubung pendekatan-pendekatan yang lebih wajar terhadap sektor sukan dan rekreasi dalam PKP dapat dipertimbangkan semula dalam mesyuarat sidang khas MKN pada petang ini,” kata KBS.

KBS semalam memaklumkan penggantungan itu termasuk semua aktiviti sukan dan rekreasi di premis atau kemudahan komersial, kemudahan awam dan kawasan terbuka.

Timbalan Menteri Belia dan Sukan, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal malam tadi mempertahankan larangan sementara itu melalui tulisan di Twitter.

Katanya, dia yakin Kementerian Kesihatan dan MKN telah menggunakan semua kaedah dan data saintifik yang diperlukan sebelum mengambil keputusan ini.

Sementara itu, kementerian itu menambah, KBS berkata pihaknya komited untuk meningkatkan sektor sukan dengan mengambil kira SOP Covid-19.

“KBS sentiasa bersama peminat dan penggiat sukan dalam memaknakan ‘Kita jaga kita’ khususnya dalam soal kelangsungan hidup dan keselamatan diri daripada penularan jangkitan Covid-19,” jelasnya dalam kenyataan hari ini.

Lihat Komen
ADS