Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Lebih 1 juta sudah terima sekurang-kurangnya satu dos vaksin
Diterbitkan:  May 8, 2021 8:28 AM
Dikemaskini: 12:28 AM

Lebih satu juta orang di Malaysia telah menerima sekurang-kurangnya satu dos vaksin Covid-19 setakat Khamis lalu, menurut kemas kini harian dari Jawatankuasa Khas Jaminan Akses ke Vaksin Covid-19 (JKJAV).

Perkembangan itu hadir 72 hari selepas Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (Pick) bermula pada 24 Februari.

Semua vaksin yang sedang digunakan dalam program ini adalah vaksin yang memerlukan dua dos suntikan, meskipun satu dos tetap memberikan perlindungan jangka pendek terhadap penyakit ini.

Sementara itu, 651,072 orang telah menerima sekurang-kurangnya dua dos vaksin, yang diharapkan dapat memberikan perlindungan yang berkekalan terhadap penyakit ini.

Vaksinasi seseorang hanya dianggap selesai dua minggu setelah dos kedua diberikan, kerana tubuh memerlukan masa untuk meningkatkan tindak balas imun yang diperlukan. Sehubungan itu, 524.843 orang telah menyelesaikan vaksinasi Covid-19 mereka.

Dalam tempoh 14 hari sebelum ini, purata 29,916 dos vaksin diberikan setiap hari.

Namun, kadar ketika ini masih meletakkan Malaysia jauh dari mencapai matlamat untuk memvaksinasi 23.6 juta orang.

Sebagai perbandingan, penduduk Malaysia pada tahun ini dianggarkan lebih daripada 34.2 juta orang.

Satu juta orang yang menerima dos pertama hanya merangkumi tiga peratus dari sasaran, sementara mereka yang menerima kedua-dua dos tersebut merangkumi 1.9 peratus daripada populasi. Kadar individu yang sudah menerima dos pada masa ini tidak begitu memberi kesan terhadap wabak ini.

Pendaftaran vaksin juga masih perlahan, dengan hanya 9,888,764 orang yang mendaftar untuk program ini pada hari Khamis. Jumlah ini hanya 40.8 peratus daripada populasi dewasa Malaysia atau 28.9 peratus daripada keseluruhan populasi.

Menteri penyelaras Pick, Khairy Jamaluddin sebelum ini menjelaskan bahawa perkara itu adalah disebabkan kekurangan bekalan vaksin dan menjangkakan kadar pendaftaran vaksin meningkat apabila bekalan vaksin yang tiba di tanah air meningkat pada bulan Jun dan Julai.

Vaksin utama yang digunakan di Malaysia adalah Comirnaty, yang dikembangkan bersama oleh Pfizer dan BioNTech. Vaksin ini merangkumi 32 juta dos, yang cukup untuk 16 juta orang.

Negara juga telah memesan 12.8 juta dos vaksin AstraZeneca dan 12 juta dos vaksin Sinovac (CoronaVac). Ketiga-tiganya sedang digunakan.

Sementara itu, Malaysia juga telah memesan 3.5 juta dos vaksin CanSino Biologic dan 6.4 juta dos vaksin Sputnik V. Kedua-duanya masih menunggu kelulusan.

Vaksin CanSino Biologic satu-satunya vaksin yang dipesan Malaysia yang merupakan vaksin dos tunggal.

Lihat Komen
ADS