Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Pemuda PN tawar inisiatif cari kerja melalui AkuPN
Diterbitkan:  May 8, 2021 12:24 PM
Dikemaskini: 4:24 AM

Pemuda Perikatan Nasional (PN) hari ini mengumumkan pelancaran platform baru untuk membantu golongan muda mencari pekerjaan.

Ketuanya Khairil Nizam Khiruddin berkata inisiatif itu dikenali sebagai Platform Akar Umbi Pemacu Negara (AkuPN) yang menawarkan tiga kategori bantuan sokongan.

"Pemuda PN terpanggil untuk memainkan peranan sebagai pemudah cara yang menjambatani rakyat dengan kerajaan.

"Justeru kami menampilkan AkuPN khususnya untuk anak muda Malaysia melalui aplikasi Cari Kerja, Skil dan Sapot sebagai peneraju kepada usaha ini sekali gus memacu negara kembali ke landasan kegemilangan," katanya dalam kenyataan.

Khairil Nizam yang juga ketua Pemuda PAS menambah berdasarkan data Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) pada 6 Mei lalu, ketika ini ada lebih 700,000 kekosongan jawatan.

Pelbagai program latihan kemahiran juga katanya disediakan kerajaan melalui Belanjawan 2021 dan pakej rangsangan ekonomi serta potensi usahawan yang boleh digembleng.

Menjelaskan inisiatif itu Khairil Nizam berkata Cari Kerja adalah usaha Pemuda PN menawarkan penyediaan ikhtisar (resume) yang diikuti pula dengan kerjasama MYFutureJobs di bawah Kementerian Sumber Manusia.

Skil pula katanya merupakan pemudah cara menghubungkan orang ramai dengan pelbagai agensi kerajaan dan swasta yang menyediakan ruang pemberdayaan untuk digilap kemahiran mereka.

"Pemuda PN akan terus berganding bahu dengan pelbagai agensi kerajaan dan swasta yang komited untuk bersama memperkasa potensi anak bangsa," katanya.

Sementara itu inisiatif Sapot adalah pemudah cara untuk usahawan baru dan peniaga kecil yang ingin memulakan atau mengembangkan perniagaan mereka.

Melalui inisiatif itu mereka boleh mendapatkan bantuan kewangan sama ada daripada kerajaan atau pembangunan komuniti ekonomi yang akan saling membantu di antara satu sama lain.

"Sesungguhnya, Sapot adalah identiti dan jati diri rakyat Malaysia yang teguh dengan semangat kekitaan untuk membantu setiap warga yang memerlukan," katanya.

Lihat Komen
ADS