Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Bina kilang tayar rancakkan semula industri getah - Khairuddin

Pembinaan kilang tayar di negara ini dijangka mampu merancakkan semula industri getah negara yang sebelum ini mengalami penguncupan, kata Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi Datuk Dr Mohd Khairuddin Aman Razali.

Menurutnya, beliau yakin industri getah negara mampu pulih dan harga komoditi itu akan meningkat semula.

“Lembaga Getah Malaysia (LGM) dan Majlis Getah Malaysia (MRC) sedang bergerak untuk menghidupkan dan merancakkan semula industri tayar kerana ia mempunyai nilai pasaran yang besar serta dapat memberi kesan positif kepada industri getah,” katanya kepada pemberita di Padang Besar hari ini.

Terdahulu, beliau menyerahkan sumbangan kepada 100 pekebun kecil getah yang terjejas akibat COVID-19 di Dewan Bukit Kerang, dekat Padang Besar.

“Sebelum ini hasil getah negara dieksport ke luar negara untuk membuat tayar, namun adalah baik jika kita menyediakan sendiri industri hiliran dengan menghasilkan produk sendiri,” katanya.

Beliau berkata pihaknya telah mengenal pasti pelabur tempatan yang berminat membuat pelaburan dan ia akan diumumkan selepas ini.

“Selepas ini saya akan umumkan secara rasmi syarikat yang ingin berkerjasama dengan kita, jumlah nilai pelaburan dan kesannya kepada pekebun kecil getah,” katanya.

Khairuddin berkata mesyuarat pertama melibatkan pelabur yang berminat dalam industri tersebut akan diadakan selepas sambutan Aidilfitri.

- Bernama

Lihat Komen
ADS