Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Kekeliruan sistem Hide: MKN bincang SOP petang ini

Kerajaan akan mempertimbangkan prosedur operasi standard (SOP) untuk premis yang ditandai sebagai berisiko menjadi titik panas Covid-19 hari ini, kata menteri kabinet Khairy Jamaluddin.

Perkembangan itu hadir selepas timbul kekeliruan susulan arahan yang dilihat bercanggah yang dikeluarkan oleh pihak berkuasa mengenai sistem Hotspot Identification for Dynamic Engagement (Hide).

Hide diperkenalkan baru-baru ini sebagai langkah pencegahan awal untuk memerangi Covid-19.

Menjawab soalan mengenai isu itu semasa sidang media dalam talian hari ini, Khairy yang juga Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi mengatakan bahawa kerajaan akan mengeluarkan kenyataan selepas mesyuarat petang ini.

"Berhubung penutupan premis dalam senarai Hide, saya tidak akan buat komen sehingga selepas mesyuarat Majlis Keselamatan Negara (MKN) petang ini.

"Saya rasa kita akan membincangkan perkara ini di mesyuarat MKN petang ini.

"Dan kami akan mengeluarkan kenyataan mengenai intervensi, prosedur operasi standard (SOP) yang diperlukan sebaik sahaja premis disenaraikan dalam senarai Hide," katanya.

Minggu lalu, ketika mengumumkan pelaksanaan sistem Hide, Khairy berkata bahawa ia akan berfungsi sebagai amaran awal untuk membolehkan intervensi dilakukan dengan cepat, dengan meramalkan lokasi yang berpotensi berubah menjadi kluster jangkitan Covid-19.

Sistem ini bertujuan untuk membolehkan orang ramai membuat keputusan yang tepat sama ada mereka ingin mengunjungi premis yang telah ditandai, dan agar mereka mengambil langkah-berjaga-jaga.

Pada masa yang sama, pemilik dan pengendali premis juga dapat mengambil tindakan proaktif dan pencegahan.

Menurut Khairy sebelum ini, premis yang disenarai dalam Hide tidak akan diperintahkan untuk ditutup, kecuali jika diminta untuk melakukannya berdasarkan penilaian risiko oleh pihak kesihatan.

Namun, beberapa hari selepas pengumuman itu, MKN mengumumkan bahawa semua premis yang disenarai dalam Hide perlu ditutup selama tiga hari.

Perintah itu dikeluarkan setelah pihak berkuasa mengeluarkan senarai 156 premis yang telah ditandakan sebagai kawasan berisiko menjadi titik panas pada hari Sabtu lalu.

Di samping itu, terdapat juga arahan yang bercanggah ketika penutupan itu seharusnya dimulakan, dengan satu kenyataan yang mengatakan bahawa ia akan berkuat kuasa serta-merta, sementara kenyataan lain menyatakan bahawa ia hanya akan bermula hari ini (10 Mei).

[Laporan penuh menyusul]

Lihat Komen
ADS