mk-logo
Berita
Dakwaan kes fitnah: Setiausaha politik menteri buat laporan polis
Diterbitkan:  May 10, 2021 5:34 PM
Dikemaskini: 9:34 AM

Setiausaha Politik kepada Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi (Medac) Datuk Seri Syed Hamzah Syed Paie membuat laporan polis berhubung dakwaan dua portal berita antarabangsa yang mengaitkannya dengan kelulusan geran daripada kementerian berkenaan kepada syarikat milik isterinya.

Syed Hamzah membuat laporan itu di Ibu Pejabat Polis Daerah Dang Wangi pada kira-kira 11 pagi ini.

Menafikan perkara itu, beliau berkata laporan berkenaan dibuat terhadap Malaysia Chronicles dan Sarawak Report kerana menyebarkan berita palsu dan fitnah terhadap dirinya dan Menteri Medac Datuk Seri Wan Junaidi Tuanku Jaafar.

"Geran SME Corp berjumlah RM338,950 yang diluluskan kepada syarikat isteri iaitu Azzahra Product Sdn Bhd tidak ada kaitan dengan Wan Junaidi selaku menteri Medac termasuk diri saya sendiri sebagai Setiausaha Politik kepadanya,” katanya ketika ditemui pemberita selepas membuat laporan itu.

Jelasnya, geran berkenaan diluluskan oleh SME Corp pada empat tahun lepas dan mereka hanya mula berkhidmat di Medac pada 2020.

Menurutnya, laporan di laman kedua-dua portal berkenaan yang diterbitkan pada 3 Mei lepas itu tidak berasas dan cuba memfitnahnya mempunyai kepentingan dalam syarikat Azzahra Product Sdn Bhd sedangkan beliau telah meletak jawatan dan menjual sahamnya sejak 2015.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Dang Wangi ACP Mohamad Zainal Abdullah ketika dihubungi Bernama mengesahkan menerima laporan itu.

Media sebelum ini melaporkan pada 3 Mei lepas, portal berkenaan mendakwa Syed Hamzah dan Wan Junaidi terlibat dalam urusan meluluskan geran berjumlah RM338,950 kepada syarikat milik isteri Syed Hamzah Azzahra Product pada 2017.

- Bernama

Lihat Komen
ADS