mk-logo
Berita
Pengusaha SPA, refleksologi kecewa sektor ditutup lagi
Diterbitkan:  May 12, 2021 10:18 PM
Dikemaskini: 2:19 PM

Dua persatuan Spa dan refleksologi menyuarakan rasa kecewa selepas sektor perniagaan itu ditutup semula berikutan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0 berkuatkuasa pada 10 Mei ini.

The Association of Malaysian Spas (Amspa) dan Malaysian Association of Wellness & Spa (Mawspa) memohon supaya kerajaan bersikap lebih adil terhadap pengusaha sektor itu yang diarah menutup premis.

"Kami sama sekali tidak boleh dipertikaikan atau dianggap sebagai tidak sah. Kami adalah pengendali berlesen. Perkhidmatan kami menyumbang kepada kesejahteraan dan kesihatan.

"Bukan sahaja kami tidak diberi pengiktirafan sewajarnya, tetapi pihak berkuasa malah tidak mengiktiraf kami sama seperti pendandan rambut dan pusat kecantikan," kata Presiden Amspa Jeanette Tambakau dan Presiden Mawspa Dorothea Justin Moduying pada kenyataan bersama hari ini.

Terdahulu, mereka mengulas beberapa aktiviti sektor perniagaan yang dibenarkan beroperasi bawah PKP manakala Spa dan pusat refleksologi pula tidak dibenarkan.

"Kami industri Spa ingin tahu mengapa kami terkecuali? Sekiranya ada keperluan untuk melakukan hubungan dekat, tidakkah rawatan muka (pusat kecantikan) dan pendandan rambut juga memerlukan hubungan yang dekat?

"Untuk setiap PKP yang dikuatkuasa, industri spa adalah yang pertama diminta untuk ditutup dan yang terakhir diizinkan untuk dibuka semula," kata mereka.

Untuk rekod, sebelum ini ketika PKP2.0 lebih 300 pengusaha Spa dan refleksologi meminta kerajaan memberikan layanan yang lebih adil kepada mereka, terutama dalam berhadapan dengan pandemik Covid-19.

Difahamkan industri spa dan refleksologi menyediakan peluang pekerjaan kepada kira-kira 30,000 pekerja.

Persepsi negatif seperti didakwa menawarkan kegiatan pelacuran antara cabaran dihadapi pengusaha spa dan pusat refleksologi yang sah sehingga sering terlepas pandang daripada perhatian kerajaan.

Bagaimanapun, persatuan spa dan reflesologi ini memberitahu sebagai pengendali yang sah mereka menerima sijil penilaian daripada Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (Motac) sebagai salah satu syarat untuk beroperasi.

Pun begitu, kata mereka memang ada sebilangan premis tidak sah yang mendakwa diri mereka sebagai Spa.

"Tetapi, PBT yang melesenkannya dan masih belum menutupnya harus bertanggungjawab atas kewujudan premis sebegini.

"Mengapa Spa berlesen yang tidak melakukan apa-apa kesalahan menerima penderitaan," katanya.

"Kami mendesak kerajaan segera mengiktiraf kami agar kami berniaga semula," tambahnya.

Lihat Komen
ADS